Malaysia Dateline

Bekas guru tahfiz berdepan 10 tuduhan meliwat, amang seksual enam pelajar

Bukan seorang tetapi enam pelajar lelaki berusia 11 hingga 13 tahun di sebuah pusat tahfiz di Kemaman, Terengganu menjadi mangsa liwat dan amang seksual gurunya.

Sebanyak 10 tuduhan meliwat dan melakukan amang seksual terhadap enam pelajar dikenakan terhadap seorang bekas guru pusat tahfiz yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kemaman hari ini.

Muhammad Jamil Abdul Kadir, 23, lapor BH, kelihatan menangis ketika tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd sebelum dia mengaku tidak bersalah.

Tertuduh yang juga bekas warden di pusat tahfiz di Kemaman itu didakwa melakukan perbuatan itu terhadap enam pelajar lelaki berusia 11 hingga 13 tahun daripada Disember 2021 hingga Februari tahun ini.

Dia berdepan dengan tuduhan di bawah seksyen 377C Kanun Keseksaan dan dua pertuduhan di bawah seksyen 377B Kanun yang sama.

Tertuduh juga turut didakwa empat tuduhan di bawah seksyen 14(d) dan tiga tuduhan di bawah seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap kanak-kanak 2017.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurhanisah SH Sahul Hamid tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh.

“Ia adalah kesalahan serius terhadap kanak-kanak dan tertuduh sebagai warden sepatutnya melindungi kanak-kanak di bawah jagaannya itu,” dipetik BH lagi.

Mahkamah membenarkan tertuduh yang tidak diwakili peguam diikat jamin RM51,000 bagi semua tuduhan dengan seorang penjamin.

Selain itu syarat tambahan turut dikenakan terhadap tertuduh iaitu tidak boleh menganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai dibicarakan.

Mahkamah juga menetapkan 29 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Jamil Abdul Kadir diiringi anggota polis ke Mahkamah Sesyen Kemaman. – Foto NSTP