Malaysia Dateline

Bekas Hakim Mahkamah Tinggi ketuai PPK, siasat kes kehilangan Raymond dan Amri

 

Bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abd Rahim Uda antara enam nama yang dipilih mengetuai Pasukan Petugas Khas (PPK) untuk menyiasat kes kehilangan Pastor, Raymond Koh dan Aktivis Sosial, Amri Che Mat.

Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di pejabatnya, di Putrajaya hari ini.

Muhyiddin berkata, enam ahli PPK diberikan masa selama enam bulan untuk menjalankan siasatan sebelum laporan dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

“Bagi kes kehilangan Amri, PPK akan menyiasat semula laporan yang telah dikeluarkan oleh pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

“Untuk kes kehilangan Raymond pula, siasatan oleh PPK hanya akan dilaksanakan setelah selesai perbicaraan di mahkamah bagi mengelakkan subjudice.

Muhyiddin bersama ahli Pasukan Petugas Khas ketika sidang media di pejabatnya hari ini.

“Dengan penubuhan PPK ini, diharapkan agar keadilan dapat diberikan kepada semua pihak yang berkaitan,” katanya dalam sidang media berhubung pelantikan PPK berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Muhyiddin berkata laporan yang dibentangkan oleh Suhakam telah mewujudkan persepsi agak negatif dan tidak adil kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) selaku pihak dituduh.

Beliau berkata, rentetan daripada laporan pendengaran siasatan awam Suhakam mengenai kes ini, ia telah menjuruskan kepada kerisauan orang awam terhadap kredibiliti PDRM yang dipertanggungjawabkan menjaga keselamatan negara.

“Saya harap selepas enam bulan atau mungkin lebih awal, laporan siasatan akan dibawa kepada saya dan pihak KDN untuk diteliti,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengerusi PPK, Abd Rahim ketika ditanya adakah akan memanggil bekas Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Fuzi Harun untuk siasatan, beliau berkata buat masa ini perkara itu tidak timbul lagi.

“Kita akan meneliti laporan Suhakam terlebih dahulu, insyaAllah siasatan akan dijalankan secara adil,” katanya.

Pada 3 April lalu, Suhakam mendakwa kehilangan paksa Raymond Koh dan Amri Che Mat dilakukan Cawangan Khas (SB) Bukit Aman.

13 Jun lalu, KPN Datuk Seri Abdul Hamid Bador memberitahu Bernama, jika pihaknya terlibat dalam siasatan itu, ia seperti berat sebelah dan bagi mengatasi perkara tersebut, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dipertanggungjawabkan mengeluarkan kenyataan berhubung perkembangan kes berkenaan.

Senarai nama ahli PPK:

Pengerusi : Datuk Abd Rahim Uda, Bekas Hakim Mahkamah Tinggi

Ahli 1: Datuk Mokhtar Mohd Noor, Bekas Ketua Bahagian Perundangan, PDRM

Ahli 2: Datuk Zamri Yahya, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM

Ahli 3: Datuk Muhammad Bukhari Ab Hamid, Pengarah Bahagian Operasi, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP)

Ahli 4: Mohd Sophian Zakaria, Pegawai Undang-Undang, Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara (AGC)

Ahli 5: Setiausaha: Mohd Russaini Idrus, Setiausaha Bahagian, Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP), KDN