Bekas hakim Mohd Hishamudin dilantik anggota JAC

Bekas hakim Mohd Hishamudin dilantik anggota JAC

Bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus dilantik sebagai anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) berkuatkuasa 4 September lepas.

Hishamudin, yang pernah bertugas dalam pelbagai kapasiti termasuk sebagai presiden Mahkamah Sesyen, timbalan pendakwa raya dan ketua pendaftar Mahkamah Agung dilantik ke jawatan terbarunya oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

JAC yang diwujudkan pada 2009 adalah bagi memastikan proses pemilihan calon hakim untuk pertimbangan perdana menteri bebas daripada bias dan prejudis.
Hishamudin dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada 1992 dan hakim Mahkamah Tinggi pada 1994 sebelum dinaikkan pangkat ke Mahkamah Rayuan sehingga beliau bersara pada 2015.

Pada 2013, JAC mencalonkan beliau ke Mahkamah Persekutuan tetapi ditolak oleh perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.

Pada 2014 Hishamuddin memutuskan satu peruntukan dalam enakmen syariah Negeri Sembilan yang menjadikan kesalahan bagi orang lelaki Muslim berpakain perempuan sebagai melanggar perlembagaan negara.

Pada 2011 dalam penghakiman majoriti Mahkamah Rayuan berhubung Akta Universiti dan Koleh Universiti 1971, beliau memutuskan bahawa Seksyen 15 (5)(a) akta berkenaan yang melarang pelajar menyuarakan sokongan kepada atau bantahan terhadap mana-mana parti politik adalah berlawanan dengan hak kebebasan bersuara yang terkadung dalam perlembagaan.

Pada 2001 Hishamudin memerintahkan supaya dibebaskan 2 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana mengambil bahagian dalam gerakan reformasi yang tercetus selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari Kabinet.

Beliau juga mencadangkan Parlimen mengkaji semula dan membatalkan atau meminda ISA, sekali gus membuat keputusan luar biasa memerintahkan seorang tahanan ISA diberi pampasan sebanyak RM2.5 juta kerana ditahan secara salah.-FMT.