Siapa sangka, seorang pembantu tadbir kewangan yang pernah bertugas di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tergamak melakukan aktiviti penggubahan wang haram dan pecah amanah.
Tertuduh iaitu Mohd Zairull Arzuan Mohd Shamsuddin @ Ang Chui Thong didakwa di Mahkamah Sesyen Kuching atas 34 pertuduhan pengubahan wang haram dan tiga pertuduhan pecah amanah, kelmarin.
Melibatkan nilai keseluruhan berjumlah RM15 juta, tertuduh yang berusia 38 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di empat Mahkamah Sesyen berasingan, lapor Harian Metro.
Difahamkan, bekas kakitangan JKM Sarawak itu didakwa mengikut Seksyen 4A (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 dan Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah.
Berhubung kes di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan, Zairull dituduh melakukan pecah amanah bernilai RM10.2 juta yang membabitkan wang gaji kakitangan JKM Sarawak di antara Jun 2019 hingga Disember 2021.
Manakala bagi kes Seksyen 4A(1) (AMLATFPUAA) 2001 pula, Zairull menghadapi 34 pertuduhan melakukan pengubahan wang haram di antara Disember 2020 hingga Januari 2022 membabitkan jumlah RM4.7 juta.
Keempat-empat hakim di Mahkamah Sesyen terbabit bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin di mana jumlah keseluruhannya bernilai RM365,000 dengan dua penjamin tempatan.
Untuk makluman, empat hakim yang mengadili kes tersebut ialah Hakim Mahkamah Sesyen 1 Iris Awen Jon, Hakim Mahkamah Sesyen 2 Afidah Abdul Rahman, Hakim Mahkamah Sesyen 3 Musli Abdul Hamid dan Hakim Mahkamah Sesyen 4 Saiful Bahri Adzmi.
Mahkamah kemudian turut menetapkan 10 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.
Zairul yang diwakili oleh peguam, Christopher Bada itu kini mencari rezeki sebagai pemandu perkhidmatan e-hailing selepas meletak jawatan daripada agensi JKM Sarawak pada tahun 2021 lalu.
Baca juga: Hina Raja-Raja Melayu: Kertas siasatan Hadi Awang dirujuk kepada Peguam Negara