Malaysia Dateline

Bekas Ketua Menteri Melaka masak makanan mangsa banjir

“Hari ini YB Adly Zahari pula memasak makanan untuk mangsa banjir. Beruntunglah mangsa banjir dapat makan masakan beliau.”

Itu catatan seorang Pemuda AMANAH, Ridhuan Esa dalam hantaran di Facebook beliau malam ini.

Dalam masa sama, Adly yang juga Naib Presiden AMANAH memaklumkan beliau bersama dalam program dapur rakyat.

“Dapur rakyat hari ini di misi banjir. Bersama bantu-membantu,” katanya ringkas diakhiri tanda pagar #IniRumahKita.

Untuk rekod, Adly yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka pernah dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka pada 11 Mei 2018 sehingga 2 Mac 2020 selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Ridhuan selanjutnya memberitahu AMANAH Melaka diketuai Haji Yuhaizad Abdullah memasak untuk mangsa banjir di Dewan Masyarakat Kampung Sri Aman Puchong semalam.

“Selepas penat menghantar barang keperluan dan makanan, kita rasalah sikit untuk alas perut daging masak asam rempah, sayur kubis goreng dan ikan masin.

“Dua kali tambah sebab sedap sangat,” kata Ridhuan antara sukarelawan Pemuda AMANAH yang turun membantu mangsa banjir besar di Selangor.

Kampung Sri Aman Puchong dengan kira-kira 1,200 penduduk yang terletak di timur Sungai Klang antara lokasi dilanda banjir besar baru-baru ini.

Air Sungai Klang mulai melimpah ke kampung berkenaan sekitar jam 2.00 pagi, 19 Disember lalu menyebabkan rumah-rumah ditenggelami air dari paras pinggang sehingga paras bumbung.