Malaysia Dateline

Bekas ketua wanita MIC Perlis sertai PKR

Penyertaan bekas Ketua Wanita MIC Negeri Perlis, M.Vanitha bersama 40 ahli baru yang lain membuktikan bukan sahaja PKR diyakini dapat menerajui kepimpinan negeri Perlis, tetapi juga Pakatan Harapan (PH) yang sedang memerintah negara ketika ini.

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Perlis, Amran Kamarudin ketika menerima borang penyertaan keahlian tersebut semalam.

Jelas Amran lagi, penyertaan bekas Ketua Wanita MIC Negeri Perlis tersebut juga memperlihatkan MIC sudah tidak lagi relevan ketika ini.

“Sejak memerintah negara, PH telah membuktikan bahawa ia mampu untuk membela nasib rakyat dari pelbagai golongan masyarakat.

“Kejayaan ini telah berjaya untuk menarik lebih ramai bekas penyokong pembangkang untuk menyertai PH.

“Penyertaan beliau bukan saja akan menjadi pendorong kepada ahli wanita dari MIC untuk meninggalkan parti tersebut, sebaliknya mampu mencambahkan lagi sokongan kepada PKR maupun PH, ” tegasnya.

Dalam pada itu Amran turut merasmikan penubuhan tujuh lagi ranting baru PKR bagi Cabang Kangar.

Antara ranting baru tersebut adalah ranting Padang Behor, Taman Merpati, Pangsapuri Seri Sena, Paduka Ira, Tok Kandang, Sempering dan Ranting Alor Lanchang menjadikan keseluruhan ranting bagi Dun Sena ialah 10 ranting.