Malaysia Dateline

Bekas Ketua Yayasan Kebajikan ketuai belasah Rina secara berjamaah

Selepas kurus dan kelihatan cantik Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun kini dibelasah secara berjamaah di media sosial apabila beliau menjadikan pejabatnya sebagai studio penggambaran fesyen.

Bekas Ketua Yayasan Kebajikan Datin Paduka Che Asmah Ibrahim turut terkedu apabila pejabat menteri yang menjadi tempat untuk menguruskan segala urusan rakyat kini dijadikan studio penggambaran fesyen.

“Macam tak percaya apa yang saya lihat. Bukan terpukau dengan kecantikan YB Menteri tetapi terkedu apabila Pejabat Menteri dijadikan studio pengambaran fesyen dan YB Menteri pula sudah menjadi model,” tulisnya di Facebook.

Katanya, satu ketika dahulu pejabat di tingkat 38 yang indah ini sibuk dengan segala urusan rakyat apabila Menteri terlibat dalam perbincangan pembentukan pelbagai polisi dan undang- undang bagi menjaga nasib wanita Malaysia, keluarga, kanak- kanak dan masyarakat.

“Satu lepas satu mesyuarat dan perbincangan dibuat oleh YB DS Dr Wan Azizah Wan Ismail (Kak Wan).

“Beratur kami di luar menunggu giliran dipanggil untuk memberi maklumbalas hal ehwal rakyat,” katanya yang pernah berkhidmat di bawah Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

“Tidakku sangka Pejabat yang sama telah menjadi studio model meraga pakaian raya 2021 mungkin.

“Sebagaimana sabda Nabi Muhammad (SAW): “Jika amanah telah disia-siakan, tunggu saja kehancuran terjadi.” Ada seorang sahabat bertanya: ‘Bagaimana maksud amanah disia-siakan?’ Nabi menjawab: “Jika urusan diserahkan bukan kepada ahlinya, maka tunggulah kehancuran itu.” (HR Al-Bukhari),” katanya.

Semenjak kelihatan langsing, Rina Harun menjadi sohor kini di media sosial apabila tampil persis model dengan menggayakan baju kurung Pahang daripada pereka fesyen Man Kajang yang cukup terkenal dalam menghasilkan busana tradisional dan perkahwinan.

Ditambah pula dengan solekan oleh jurusolek selebriti yang juga terkenal, Saidatulnisa Aminuddin iaitu kakak kepada Ratu Rock Negara, Ella Aminuddin.

Beberapa foto Rina mula dikongsi warga maya di media sosial apatah lagi sesi penggambaran diambil berlatar belakangkan pejabat Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Putrajaya.