Bekas KSU Perbendaharaan saran Najib lupakan RUU355 tumpu ekonomi negara

Bekas KSU Perbendaharaan saran Najib lupakan RUU355 tumpu ekonomi negara

Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Malaysia Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim merayu perdana menteri Datuk Seri Najib Razak agar tidak menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355) kerana ia akan menyulitkan lagi kelemahan  ekonomi negara dan merosotkan sentimen terhadap nilai mata wang ringgit.

Dalam satu kenyataan yang tular di media sosial, Sheriff yang menerajui perbendaharaan negara dari tahun 1991 hingga 1993 berkata, nilai ringgit yang lemah akan meningkatkan inflasi dan harga barangan manakala kos kehidupan rakyat akan merosot.

Mohd Sheriff Mohd Kassim“Yang akan menanggung bencana ini kebanyakannya orang Melayu kita juga. YAB tentu maklum bahawa sentimen sekarang sangat lemah kerana isu-isu urus tadbir negara atau “governance” berkaitan 1MDB yg masih belum diselesai.

“Walau apa pun YAB berkata tentang kekuatan ‘economic fundamentals’, nilai ringgit  dan sentimen pelaburan tidak akan pulih  jika isu-isu ini masih tergantung di leher negara,” ujarnya.

Mohd Sheriff menambah, sokongan perdana menteri terhadap RUU355 menyebabkan para pelabur dalam dan luar negara akan mentafsir bahawa ia satu permainan politik untuk lari dari tanggung jawab yang amat mendesak iaitu memulihkan ekonomi negara.

“RUU355 akan memecahbelahkan rakyat dan membawa mereka merasa bimbang atas masa depan  negara yang berbilang kaum ini.

“Bila rakyat tidak yakin dengan masa depan Malaysia, ekonomi kita akan hilang kekuatannya dan rakyat akan menjadi mangsa semata-mata kerana kepimpinan yang suka bermain politik dengan agama,” tegas beliau.

Sehubungan itu, beliau sebagai bekas ketua setiausaha Kementerian Kewangan dan ketua pengarah Unit Pearancangan Ekonomi menasihati Najib supaya melupakan RUU355 memandangkan tugas lain yang lebih mendesak untuk diselesaikan.

TAGS