Malaysia Dateline

Bekas MB, Osman Sapian meninggal dunia

Bekas Menteri Besar Johor ke-16, Datuk Osman Sapian meninggal dunia di Kuala Lumpur pada pukul 11.45 malam tadi.

Osman, 70, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di kediaman anaknya di Damansara.

Wakil rakyat Bersatu berkenaan sebelum ini dimasukkan ke Hospital Pakar KPJ Johor akibat serangan angin ahmar pada 13 Oktober lalu ketika berada di kediamannya.

Bulan lalu, keadaan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Ayer Hitam itu dilapor stabil tetapi masih belum pulih sepenuhnya.

Pada masa itu, Osman dirawat di wad biasa di Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM), Selangor selama dua minggu.

Jenazah Allahyarham difahamkan akan dibawa pulang ke Johor untuk urusan pengebumian.

Beliau dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-16 selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) bagi tempoh 12 Mei 2018 hingga 8 April 2019.