Malaysia Dateline

Bekas MB Selangor Tan Sri Abu Hassan Omar meninggal dunia

Bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Dr Abu Hassan Omar meninggal dunia hari ini di sebuah hospital swasta di Shah Alam akibat serangan jantung.

Perkara itu disahkan oleh Pegawai Khasnya Datuk Mohamad Isa Ishak ketika dihubungi oleh Bernama, malam ini.

“Ya, Tan Sri sudah meninggal dunia akibat serangan jantung pada 8.05 malam tadi. Jenazah masih lagi di hospital dan akan dibawa ke rumahnya di Kota Kemuning sebentar lagi,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya, beliau diberitahu Abu Hassan pada petang tadi mengadu sesak nafas dan sakit di bahagian dada lalu dibawa ke sebuah hospital swasta oleh menantunya untuk menerima rawatan.

“Tetapi pada 8.05 malam tadi doktor yang merawatnya memberitahu beliau sudah meninggal dunia,” katanya.

Abu Hassan adalah Menteri Besar Selangor ke-12 serta memimpin negeri ini dari 1997 hingga 2000 dan beliau juga adalah Yang Dipertua Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia Selangor.

Beliau meninggalkan seorang isteri dan empat orang anak.

Anak ketiganya Mohd Hasri meninggal dunia pada 2014 akibat serangan jantung di rumahnya.

Menteri Besar Selangor Amiruddin Shari dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi  yang juga bekas menteri besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika menziarahi jenazah Allahyarham Tan Sri Abu Hassan Omar di kediamannya malam tadi.