Malaysia Dateline

Bekas MB Terengganu Wan Mokhtar meninggal dunia

Bekas Menteri Besar Terengganu Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad telah meninggal dunia pada jam 6.20 pagi tadi di Prince Court Medical Centre, Kuala Lumpur.

Beliau menghembuskan nafas terakhir pada usia 88 tahun.

Perkara itu dimaklumkan oleh anak beliau Hakim Wan Mokhtar di Facebook sejam yang lalu.

“Mohon doakan keampunan Allah pada beliau, dipermudahkan perjalanan di alam barzah dan mendapat ganjaran syurga di akhirat nanti.

“Mohon maafkan segala dosa-dosa beliau, halalkan makan minum dan tuntutlah pada keluarga sekiranya beliau ada hutang dengan tuan-tuan dan puan-puan,” tulis beliau.

Beliau juga memaklumkan jenazah Allahyarham akan disembahyangkan di Masjid Bukit Jelutong selepas solat Zohor nanti dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam.

Allahyarham merupakan mantan Menteri Besar Terengganu dari tahun 1974 hingga 1999. Beliau juga merupakan mantan Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi dari tahun 2000 hingga 2005.

Beliau telah berjaya mengekalkan kerusinya dan kekal sebagai Menteri Besar Terengganu selama enam penggal.