Malaysia Dateline

Bekas Menteri kemuka cadangan supaya kerajaan boleh kawal harga minyak masak

Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan bahawa kenaikan harga minyak masak sehingga 100 peratus berbanding harga pasaran pada Disember 2019, adalah tidak munasabah.

Beliau menyarankan agar kerajaan segera memperkenalkan harga dua-peringkat (two tiered pricing) bagi harga minyak sawit mentah untuk menangani peningkatan harga minyak masak ketika ini.

Bekas Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu berkata, harga minyak sawit boleh dijual mengikut harga pasaran untuk tujuan eksport, tetapi untuk tujuan domestik membuat minyak masak, kerajaan boleh memperkenalkan harga yang lebih rendah.

“Dengan cara ini harga minyak masak tempatan akan menjadi lebih murah berbanding sekarang. Bukan sahaja harga minyak masak tanpa subsidi murah, bahkan subsidi yang ditanggung kerajaan akan berkurangan.

“Cadangan ini saya kira munasabah memandangkan hanya sejuta tan minyak sawit mentah digunakan untuk tujuan ini, berbanding lebih 20 juta untuk tujuan eksport yang memberikan pendapatan lumayan kepada industri yang mencecah RM70 bilion,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali berkata, harga minyak masak di pasaran sekitar RM30 bagi botol lima kilogram adalah munasabah memandangkan kenaikan harga minyak sawit bertapis yang tinggi pada masa ini.

Menurutnya, purata harga minyak sawit mentah (MSM) antara RM4,000 hingga RM4,500 satu tan menyebabkan kenaikan harga minyak sawit bertapis lebih tinggi kepada sekitar RM5,000 satu tan.

Sementara itu, Saifuddin yang juga Setiausaha Agung PKR itu mencadangkan agar kerajaan membiayai subsidi untuk semua bekalan minyak masak dalam negara.

Katanya, jika hal tersebut tidak boleh dijadikan dasar tetap dek kekangan biaya, kerajaan boleh melaksanakannya sebagai “one off”.

Langkah ini katanya, dengan serta merta akan menurunkan harga minyak masak pada tahap yang tidak membebankan rakyat selaku pengguna.

“Cadangan ketiga saya ialah kerajaan boleh menggunapakai Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan dengan memperkenalkan harga siling bertujuan menghalang kenaikan berterusan harga minyak masak di pasaran hari ini.

“Hal ini akan segera memberi kelegaan kepada rakyat,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Saifuddin menggesa kerajaan untuk segera bertindak bagi membuat keputusan yang betul menangani kenaikan harga minyak masak yang sudah sampai pada tahap yang sangat membebankan rakyat.