Malaysia Dateline

Bekas Menteri Kesihatan gesa benarkan pergerakan rentas negeri

Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyarankan agar kerajaan membenarkan semula pergerakan rentas negeri tanpa sekatan ekoran sebelum ini tiada rekod lonjakan mendadak membabitkan pergerakan negeri ke negeri.

Ahli Parlimen Kuala Selangor itu berkata, melainkan kerajaan dapat membuktikan adanya penularan baharu wabak Covid-19.

Beliau berkata, kes jangkitan direkodkan sekarang bukanlah seperti penularan sebelum ini yang membabitkan kluster penjara, depot tahanan dan asrama kilang yang padat.

“Ini menunjukkan bahawa kes melonjak kerana tiada amalan penjarakan sosial, prosedur operasi standard (SOP) tidak dipatuhi di tempat-tempat kerja, asrama dan depot tahanan.

“Saya ingin tegaskan tiada lonjakan yang mendadak daripada pergerakan ke negeri-negeri lain yang ketara.

“Benarkan dan buka semua sempadan negeri tanpa sekatan kecuali ada bukti ‘outbreaks’,” katanya memetik Sinar Harian hari ini.

Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan larangan rentas negeri akan terus dikuatkuasakan sehingga Mei nanti.

Ini kerana Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyatakan walaupun terdapat penurunan kes harian, namun belum masanya untuk kerajaan membuka pintu negeri secara total.

Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata, pulang ke kampung halaman pada bila-bila masa bukanlah masalah yang sebenar.

Namun, SOP perlu dipatuhi seperti amalan asas seperti mengelakkan 3S iaitu sesak, sempit dan sembang dekat yang boleh merisikokan kesihatan ibu bapa di kampung.

Pada masa sama, beliau mengemukakan cadangan yang perlu dipertimbangkan kerajaan ketika ini termasuklah melaksanakan ujian saringan RTK-Ag secara besar-besaran.

“Selain itu, beri fokus kepada pematuhan SOP di tempat berisiko tinggi dan meningkatkan kesedaran kesihatan.

“Tidak ketinggalan, memberi kesedaran kepada rakyat bahawa vaksin adalah salah satu komponen melawan pandemik, bukannya penyelesaian muktamad sehingga kita mencapai sasaran 80 peratus divaksinasi,” katanya lagi.