Malaysia Dateline

Bekas Menteri Kesihatan sokong, PRU sekarang bermakna ramai akan mati

Mantan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyokong saranan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad agar pilihan raya umum tidak diadakan buat masa sekarang kerana ia akan menyebabkan lebih ramai orang akan mati kerana Covid-19.

“Saya cenderung untuk tidak menyokong PRU diadakan dalam waktu terdekat ini, khasnya kerana penularan kluster dan kes-kes secara sporadik (tanpa kaitan mana-mana kluster) terus meningkat.

“Ia sekaligus mengesahkan virus SARS CoV-2 ini masih berada bersama dalam komuniti kita,”kata Dr Dzulkefly kepada Malaysia Dateline mengulas pandangan Tun Dr Mahathir bahawa jika diadakan pilihan raya sekarang bermakna lebih ramai rakyat akan mati.

Bagi Dr Dzilkefly, jumlah yang kes baharu mencecahkan 3 angka ini sangat membimbangkan dan kita harap tidak akan mencetuskan semacam gelombang baru.

“Sememang dikhuatiri kalau kes positif meningkat, ditakuti jumlah kematian juga akan meningkat,” kata beliau yang berkata pandangan beliau ini bukan pandangan peribadi tetapi juga pandangan rakan-rakannya dalam Selangor Taskforse Covid-19 (STFC) yang beliau ketuai.

STFC terdiri dari 2 pakar klinikal dalam bidang penyakit berjangkit (infectious disease experts), 3 pakar kesihatan awam dengan salah seorang dari mereka juga punya kepakaran dalam bidang ‘Artificial Intelligence’ yang bekerjsama dengan beliau bagi membantu kerajaan negeri Selangor melawan Covid-19.

“Ini bukan pandangan politik dan perhitungan politik. Ia demi nyawa dan kehidupan,” kata beliau.

Sehubungan itu, beliau berkata, kalau benar-benar kehidupan mahu diteruskan dan ekonomi mahu dipergiatkan kembali, maka rakyat dan semua pihak yang terlibat mesti menguatkuasa langkah-langkah SOP secara serius dan tegas.

“Saya yakin Yang Dipertuan Agong akan memberikan pertimbangan hang sebaiknya,” kata beliau dalam kenyataan itu.

Kes Covid-19 melonjak naik ketika pilihan raya umum negeri Sabah diadakan minggu lalu.

Semalam, 26 September, dari 82 kes baharu yang direkodkan, 64 darinya berlaku di Sabah, ketika negeri itu berhadapan PRN.

Para pemimpin juga terpaksa dikurantinkan ekoran bertemu secara rapat dengan mangsa yang positif Covid – 19 termasuk Menteri Wilayah Persekutuan dan Menteri Besar Terengganu.

Tun Dr Mahathir membayangkan, mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) di saat wabak COVID-19 yang semakin meningkat dalam negara ketika ini akan menyebabkan lebih ramai rakyat negara ini akan mati.

Menurut beliau, kerajaan harus berfikir dengan berhati-hati jika ada baiknya membuat pilihan raya di tengah-tengah wabak COVID-19 yang kembali bertambah.

“Mereka perlu bertanya pada diri sendiri apakah kehidupan rakyat lebih penting daripada politik. Saya yakin bahawa pilihan raya dapat meningkatkan penyebaran Covid-19 dan lebih banyak nyawa akan hilang,” katanya.