Bekas Menteri Kewangan dipanggil PAC Parlimen

Bekas Menteri Kewangan dipanggil PAC Parlimen

Ronald Kiandee mengetuai prosiding pertama tuntutan tunggakan GST di parlimen

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen Penggal ke-14 akan memanggil bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah serta Datuk Seri Johari Abdul Ghani bagi memberi keterangan di hadapan PAC Parlimen pada 25 September ini.

Mereka akan dipanggil PAC parlimen berhubung isu tuntutan tunggakan bayaran Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM19.4 bilion.

Pengerusi PAC Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dalam kenyataanya berkata prosiding pertama telah berjalan pada hari Rabu dan Khamis, 12 September dan 13 September 2018.

Pada prosiding hari Rabu, PAC Parlimen memanggil Jabatan Kastam Diraja Malaysia dengan Ketua Pengarahnya, Datuk Seri T Subromaniam, manakala pada hari Khamis pula, Mantan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Irwan Serigar Abdullah bersama Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) Datuk Siti Zauyah Md Desa, yang mewakili Ketua Setiausaha Perbendaharaan hadir di hadapan PAC Parlimen bagi memberi penjelasan mengenai isu yang sama.

Selain itu, PAC Parlimen juga akan memanggil beberapa saksi lain bagi memberikan penjelasan berhubung isu ini, dalam memastikan siasatan yang dijalankan benar-benar menyeluruh.

“Pemilihan isu itu dipersetujui sebulat suara semua 13 ahli PAC memandangkan ia membabitkan kepentingan rakyat dan negara selepas perkara berkenaan dibangkitkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam sidang Dewan Rakyat, awal Ogos lalu selaras dengan Perkara 77 (1)(d) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat,”katanya.

Sehubungan itu, katanya, PAC Parlimen tidak menetapkan sebarang garis masa (deadline) bagi merumuskan siasatan ini sebelum membentangkan laporannya ke Dewan Rakyat.

Ronald berkata, selain 13 ahli PAC yang dilantik daripada kalangan ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, PAC Parlimen juga dianggotai wakil-wakil tetap (ex-officio) kementerian dan jabatan seperti Kementerian Kewangan, Jabatan Audit Negara, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Akauntan Negara dan Unit Perancang Ekonomi.

Justeru, tegas beliau, rumusan serta cadangan Laporan PAC Parlimen berhubung isu ini, sudah pasti mendapat input serta pandangan daripada ex-officio PAC Parlimen dalam memastikan laporan ini benar-benar komprehensif, telus serta menyeluruh sebelum ia dibentangkan di Dewan Rakyat dan menjadi dokumen awam.

 

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
1 user vote x 10.0