Malaysia Dateline

Bekas menteri kewangan respon prestasi Malaysia jatuh dalam Ranking Daya Saing Dunia 2022

Prestasi Malaysia merosot dalam Ranking Daya Saing Dunia (WCR) 2022 yang menyaksikan negara jatuh tujuh tangga di kedudukan ke-32 berbanding kedudukan ke-25 pada 2021.

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, penurunan mendadak tersebut merupakan amaran jelas tentang pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang gagal menjalankan tadbir urus dengan baik.

Katanya, laporan terbaru itu sama sekali tidak memberi petanda baik kepada ekonomi Malaysia yang kini sedang mengalami kenaikan harga dan kos sara hidup tinggi.

Selain kos sara hidup, Lim turut menyenaraikan bahawa negara sedang berdepan rasuah yang meningkat, kekurangan buruh yang teruk, dan ringgit melemah.

Bagi Lim, ringgit sepatutnya terus mengukuh seiring dengan harga minyak sedang tinggi dan harga komoditi juga melambung tinggi terutamanya kelapa sawit.

Namun, ringgit Malaysia terus melemah dan merosot ke paras terendah berbanding dolar AS dan Singapura.

“Kerajaan harus bangkit dengan menubuhkan Dana Penstabilan Harga dan Stok Penampan bagi komoditi penting untuk menyeimbangkan kenaikan harga barangan.

“Pada masa yang sama, pemansuhan AP import makanan tidak seharusnya disertai dengan penambahan kerenah birokrasi yang memperlahankan masa pemprosesan.

“Jangan tangguhkan lagi subsidi dan agihkan segera seperti subsidi daging ayam di mana daripada RM730 juta yang diluluskan oleh Industri Makanan Pertanian Malaysia (MAFI), hanya RM50 juta dibayar pada akhir Mei,” katanya dalam satu kenyataan terbaru hari ini.

Pada masa sama, Lim turut menyentuh tentang kekurangan tenaga kerja yang menghantui banyak perniagaan dengan banyak pertubuhan beroperasi di bawah kapasiti.

Beliau turut menegur agar kerajaan berhenti berada dalam sindrom penafian dengan mendakwa bahawa inflasi terkawal pada 2.3 peratus sedangkan ini disebabkan oleh harga terkawal.