Malaysia Dateline

Bekas Menteri Luar BN dakwa parti Semenanjung jarah kekayaan Sabah

Bekas Menteri Luar kerajaan Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Anifah Aman berkata, parti Malaya (Semenanjung Malaysia) telah lama mengambil kesempatan dan menjarah kekayaan negeri Sabah.

Bekas Ketua Umno Bahagian Kimanis, yang bertanding di Parlimen Kimanis bersama Barisan Nasional (BN) pada 2018 itu berkata, sudah tiba masanya parti tempatan memerintah negeri ini.

“Terlalu lama sudah negeri kita ini jadi tempat permainan parti politik dari Malaya dan parti-parti yang bersengkokol dengan mereka, yang ambil kesempatan dan jarah segala kekayaan ibunda Sabah. Cukuplah!,” kata Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) itu di laman Facebook beliau hari ini.

Kenyataan Anifah itu dibuat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-16 tidak lama lagi di mana PCS juga dijangka akan menyertainya.

Harian Metro sebelum ini pernah melaporkan pengankuan Anifah yang mengakui ‘cintanya’ terhadap Umno masih mendalam walaupun telah meninggalkan parti itu.

Beliau meluahkan perasaan ‘cintanya’ kepada Umno itu dalam sidang akhbar di Kimanis yang turut dihadiri Presiden Umno, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.