Malaysia Dateline

Bekas menteri Mokhtar Hashim meninggal dunia

Bekas Menteri Belia dan Sukan dari 1980 hingga 1983, Datuk Mokhtar Hashim meninggal dunia awal pagi tadi pada usia 78 tahun.

Allahyarham merupakan bekas menteri Kabinet yang pernah berkhidmat pada zaman Tun Hussein Onn dan Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.

Hal itu dimaklumkan anaknya, Imri dan Sany dalam satu kiriman WhatsApp kepada media.

“Bagi pihak keluarga, ingin kami maklumkam kepulangan ayahanda tercinta kami, Dato’ Mokhtar Hashim ke Rahmatullah pada 3.10 pagi, Rabu 18 November 2020.

“Urusan solat jenazah dan pengebumian akan dimaklumkan seterusnya,” katanya.

Mokhtar juga pernah berkhidmat sebagai setiausaha Parlimen kepada Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dari 1972 hingga 1975.

Bekas Ahli Parlimen Tampin itu turut pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar dari 1974 hingga 1976.

Mokhtar dijatuhkan hukuman gantung sampai mati pada 1983 selepas didapati bersalah atas tuduhan membunuh Speaker Dewan Undangan Negeri Sembilan, Mohamad Taha Talib pada 14 April 1982, dipercayai kerana persaingan dalam politik.

Bagaimanapun beliau dibebaskan daripada hukuman itu selepas mendapat pengampunan diraja pada 1991 daripada hukuman gantung sampai mati kepada penjara seumur hidup.