Malaysia Dateline

Bekas Menteri Pertanian turun pasar Chow Kit, harga ayam RM11 sekilo di sana

Walaupun harga siling yang ditetapkan oleh kerajaan adalah RM8.90 sekilogram untuk harga runcit ayam, namun peniaga di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur menjualnya dengan harga RM11 sekilo.

Inilah yang ditemui oleh bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub ketika melawat pasar itu hari ini.

Ahli Parlimen Pulai itu turun ke pasar Chow Kit ketika kecoh tentang kenaikan harga ayam dan ketiadaan bekalan ayam di pasaran.

Semasa beliau menjadi menteri ketika era Pakatan Harapan menjadi kerajaan dahulu, harga ayam tidak sampai RM6.00 sekilo bahkan setengahnya sehingga RM4.99 sekilo.

Harga ayam RM4.99 ketika Salahudin menjadi Menteri Pertanian dahulu. Gambar tahun 2020.

Salahuddin memberikan dua tindakan utama yang dibuat oleh beliau semasa menjadi menteri dahulu bagi mengawal harga barangan keperluan termasuk ayam menjelang musim perayaan.

“Pertama, saya sendiri bertemu dengan pembekal utama ayam untuk berbincang dengan mereka bagaimana untuk memastikan harganya terkawal menjelang musim perayaan,” kata beliau.

Dari situ, katanya, kerajaan dapat memahami masalah mereka dan cuba membantu termasuk mengawal kenaikan harga makanan ayam.

“Yang kedua, saya dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna ketika itu, Datuk Seri Saifuddin Nasution duduk sekali berbincang dengan pegawai-pegawai kami bagaimana untuk mengawal harganya,” cerita Timbalan Presiden AMANAH itu.

Selain turun ke pasar, Salahudin juga bercadang untuk bertemu dengan penternak ayam bagi menyelami masalah mereka sehingga ayam terpaksa dijual begitu mahal.

Menurut penternak, mereka tidak boleh mempastikan jualan ayam secara runcit kurang dari RM8.90 kerana kos barang mentah untuk makanan ayam naik melambung.

Februari lalu, para penternak ayam mula merungut tentang kenaikan mendadak harga bahan makanan ayam menyebabkan mereka tidak mampu untuk mematuhi harga siling ayam RM8.90 yang ditetapkan kerajaan.

Ekoran itu, kerajaan mengumumkan akan memberikan subsidi makanan ayam kepada penternak bagi membolehkan harga siling itu dipatuhi.

Namun penternak mendakwa, subsidi yang dijanjikan kerajaan itu tidak sampai kepada mereka selepas lebih tiga bulan ia dijanjikan.

Pada 15 Mei lalu, hari ke 100 kerajaan berjanji memberikan sabsidi, ia masih belum diterima oleh penternak.

“Hari ni adalah hari ke100 harga kawalan yang memeras keringat semua pemain industri ayam dilaksanakan.

“Berapa ratus juta kerajaan berjanji untuk membayar subsidi , tapi subsidi untuk 1 hari pun masih belum diterima,” tulis Jaffri Ahmad, Pengerusi Ayam Bismi, syarikat pengeluar ayam bumiputra terbesar di negara ini.