Malaysia Dateline

Bekas menteri PH persoal di mana dana bantuan bil elektrik

Pengguna komersial dan industri sepatutnya turut mendapat bantuan bil elektrik memandangkan mereka sebenarnya mempunyai “simpanan” di Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE), tegas bekas menteri Pakatan Harapan (PH), Yeo Bee Yin.

Bagaimanapun, bekas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) itu mempersoal di mana dana tersebut berada ketika keadaan ekonomi sekarang sangat mencabar.

Yeo Bee Yin

“Soalnya, di manakah dana ini kini?” kata Bee Yin yang juga Ahli Parlimen Bakri.

Beliau berkata demikian ketika mengulas siri komentar bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung langkah kerajaan Perikatan Nasional (PN) memberi diskaun kepada pengguna elektrik.

Untuk rekod, KWIE merupakan satu tabung yang bertujuan untuk mengurangkan kadar surcaj Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api atau Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) jika berlaku bagi meringankan beban rakyat pada masa depan dikawal selia oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).

Mengulas lanjut, Bee Yin mengucapkan terima kasih kepada Najib kerana siri hantarannya itu mengesahkan dana bantuan bil elektrik datangnya dari tabung KWIE.

“Tapi Najib tak faham mekanisme ICPT dan tak tahu kira,” tempelaknya.

Tiada kenaikan

Jelas Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan itu, KWIE digunakan supaya tiada kenaikan tarif untuk pengguna domestik sepanjang pentadbiran PH ketika harga bahan api adalah lebih tinggi daripada harga asas.

“Setiap kali dalam pengumuman kami (kerajaan PH), kami jujur menyebut sumber dana adalah dari KWIE kerana semua ini adalah sumbangan dari pengguna-penguna elektrik,” tegasnya.

Sehubungan itu, Bee Yin berkata, beliau terkilan apabila Najib bersungguh-sungguh mendabik dada bagi pihak menteri Umno apabila KWIE digunakan untuk memberi bantuan.

“Apabila harga arang batu menurun hujung tahun lepas (tetapi masih lebih tinggi daripada harga asas), kami menurunkan surcaj yang perlu dibayar oleh pengguna komersial dan industri dari 2.55 sen ke 2 sen untuk tempoh Jan hingga Jun 2020 (surcaj atau rebat ditentukan setiap 6 bulan berdasarkan harga bahan api 6 bulan yang lalu).

“Dianggarkan terdapat sejumlah RM 594 juta surcaj pengguna-pengguna komersial dan industri yang disumbangkan ke KWIE bagi tempoh Jan hingga Jun 2020.

“Dana KWIE ditingkatkan supaya boleh digunakan untuk menampung beban pengguna elektrik apabila dalam krisis serta menstabilkan tarif elektrik,” kata Bee Yin lagi.