Malaysia Dateline

Bekas menteri sangkal dakwaan Azmin isu ratifikasi CPTPP

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking menafikan Pakatan Harapan (PH) telah meratifikasi Perjanjian Komprehesif dan Progresif Bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Beliau membidas kenyataan Datuk Seri Mohamed Mohamed Azmin Ali dalam sidang Dewan Rakyat semalam, yang mendakwa kerajaan terdahulu telah meratifikasi perjanjian itu tanpa menetapkan tempoh khusus proses berkenaan.

Leiking berkata, pada 29 November tahun lalu, Kabinet bersetuju untuk tidak meratifikasi CPTPP mengambil kira kesan negatif terhadap industri domestik.

“Jika Kabinet membuat keputusan berbeza daripada keputusan asal kerana mereka akhirnya mendapat maklumat dan pemahaman yang lebih baik, yang mana akan menjadi polisi kerajaan (keputusan awal atau akhir)?

“Saya berpendapat bahawa keputusan terkini – dan keputusan terakhir yang saya maklum, adalah keputusan pada 29 November 2019 yang disebutkan di atas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Lim Guan Eng (PH-Bagan) mendesak Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Azmin Ali supaya mengemukakan fakta yang tepat berhubung status ratifikasi CPTPP.

Beliau mempertikaikan jawapan yang diberikan Azmin kerana Kabinet ketika ditadbir PH tidak bersetuju dengan ratifikasi itu kerana tidak mahu campur tangan dari negara luar dalam urusan perniagaan dan perdagangan di negara ini.

Beliau mendakwa, jawapan yang dikemukakan Azmin sebagai tidak benar dan meminta agar fakta itu diperbetulkan.

Bagaimanapun, Azmin kemudian menjawab bahawa Guan Eng yang ketika itu merupakan anggota Kabinet pada 5 September 2018 bersetuju untuk meratifikasi perjanjian tersebut.

Jawapan yang diberikan Azmin itu menyebabkan Guan Eng membidaz sekali lagi dengan meminta Azmin supaya menyemak semula fakta yang diberikan olehnya.