Malaysia Dateline

Bekas menteri sekolahkan Perdana Menteri

Bekas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke tampil membetulkan dua fakta yang terkandung dalam Perutusan Khas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan oleh Perdana Menteri petang tadi.

Menurutnya, terdapat angka yang salah dalam perenggan ketujuh ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disiarkan secara langsung itu.

Jumlah pemandu e-hailing di seluruh negara, jelasnya, tidaklah mencecah 1.4 juta orang memandangkan hanya sekitar 120,000 pemandu e-hailing yang telah berdaftar dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Kalau 1.4 juta pemandu dibayar RM500 seorang, jumlah yang diperlukan ialah RM700 juta, bukannya RM34 juta.

“Saya rasa angka yang lebih tepat ialah RM34 juta telah dibayar dan kalau dibahagikan dengan RM500, jumlah penerima ialah 68,000 orang, jauh beza dengan 1.4 juta orang!

“Keduanya, kalau betul 477 ribu pemandu pelancong, pemandu teksi dan bas dibayar RM600 seorang, jumlah yang perlu diperuntukkan ialah RM286.2 juta, bukannya RM28.8 juta.

“Kalau setakat RM28.8 juta telah dibayar untuk RM600 seorang, jumlah penerima hanyalah 48 ribu orang, BUKAN 477 ribu! Itu perbezaan 10 kali ganda,” ujarnya dalam hantaran di Facebook.

Sehubungan itu, Anthony yang juga Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP berkata, fakta dan angka yang diungkapkan mestilah tepat dan tidak mengelirukan orang ramai kerana ucapan Perdana Menteri kepada seluruh negara melalui televisyen merupakan satu ucapan yang serius.

“Saya tak pasti sama ada pegawai Kementerian Pengangkutan yang memberikan angka yang salah kepada Pejabat Perdana Menteri.

“Namun, pegawai-pegawai PMO (Pejabat Perdana Menteri) seharusnya menyemak betul-betul sebelum YAB Perdana Menteri menyampaikan ucapan secara langsung.

“Saya harap PMO akan memperbetulkan fakta tersebut dan tidak mengulangi kesilapan fakta seperti ini,” kata Anthony lagi.