Malaysia Dateline

Bekas Menteri tuntut kerajaan dedah penempatan peserta Tabligh

Bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah menuntut kerajaan untuk bertindak menyenaraikan kawasan perkampungan peserta himpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling, bulan lalu.

Ia selepas kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan hari ini yang mendedahkan sebanyak 18 daerah tersenarai dalam statistik taburan kes positif Covid-19 tertinggi di Malaysia.

Namun menurutnya, adalah satu perkara yang amat malang apabila tindakan dan langkah yang sama tidak dilakukan oleh kerajaan untuk mendedahkan lokasi penempatan peserta-peserta tabligh yang sehingga kini tidak diketahui.

“Tidakkah penting nyawa serta keselamatan penduduk kampung asal peserta Tabligh yang perlu juga diberi tahu risiko keselamatan mereka?

“Kenapa hanya penduduk bandar besar Petaling Jaya dan Lembah Pantai sahaja dimaklumkan risiko kawasan mereka dan bukan rakyat luar bandar?

“Tidakkah nyawa rakyat luar bandar juga bernilai dan tidak patut didiskriminasi?” soalnya dalam satu kenyatan hari ini.

Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional itu berkata, sehingga kini masih tiada lagi senarai kampung atau daerah asal peserta tabligh yang diumumkan selepas tiga minggu.

Malah, lebih memburukkan keadaan apabila jangkitan wabak Covid-19 kebelakangan ini membabitkan sekitar 60 peratus dari peserta tabligh tersebut yang melibatkan kematian juga adalah dalam kalangan mereka.

Beliau turut membangkitkan bagaimana cadangannya sebelum ini yang dilihat masih tiada apa-apa tindakan atau langkah yang diambil.

Beliau menegaskan bahawa ini adalah satu-satunya peluang kerajaan untuk mengelakkan peningkatan kes namun ianya masih diabaikan oleh kerana keengganan pihak berkuasa berbuat demikian.

“Bagaimanapun tindakan pengumuman Ketua Pengarah Kesihatan amat dialu-alukan dan patut dipuji walaupun mungkin sedikit terlambat untuk isu jangkitan kumpulan Tabligh.

“Di sinilah kelemahan kerajaan Malaysia yang kurang terbuka. Masih berahsia dan orang awam diberikan maklumat yang tidak jelas, kadangkala ditarik balik secara flip-flop, dalam waktu kritikal krisis ini.

“Kenyataan penting patut dibuat hanya oleh penjawat awam pegawai Kerajaan yang lebih profesional pendekatan mereka berbanding dengan ahli politik yang mempunyai kepentingan politik dan kadangkala kurang jelas arah tujunya,” katanya.