Nama bekas ratu cantik negara, Shakila Saiful baru-baru ini menjadi perbincangan hangat selepas memenangi kes saman fitnah terhadap bekas bapa mentuanya yang juga merupakan tokoh Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA) iaitu Ustaz Engku Fadzil.
Susulan kekalahan tersebut, Ustaz Engku menerusi satu hantaran di akaun Facebook pada Ahad lalu memohon sumbangan ikhlas daripada orang ramai berjumlah RM60,000 untuk membiayai kos guaman kes tersebut di peringkat rayuan.
Namun di dalam hantaran yang sama, Ustaz Engku turut membuat dakwaan bahawa bekas menantunya itu telah mendapat pembiayaan daripada pihak Mufti Perlis tanpa mengesahkan kesahihan maklumat tersebut sama ada ia benar atau sebaliknya.
“Ustaz Engku tidak dapat mengesahkan kesahihan maklumat tersebut. Sekiranya benar sekalipun, Ustaz Engku tidak pasti adakah yang dimaksudkan ‘dibiayai oleh Mufti Perlis’ itu bererti menggunakan dana peribadi beliau atau bermaksud dipermudahkan urusan oleh beliau untuk mendapat dana tertentu.
“(Seperti) peruntukan zakat fi sabilillah misalnya. Ustaz Engku tidak pasti dan belum berusaha memastikan. Yang pasti, Ustaz Engku tidak mendapat biayaan khusus daripada sesiapa. Oleh itu, Ustaz Engku membuka ruang kepada sesiapa yang sudi dan mampu untuk menyumbang kepada kos guaman peringkat rayuan ini,” katanya dalam hantaran itu.
Dakwaan yang dilemparkan Ustaz Engku Fadzil di dalam hantarannya itu telah mendorong Shakila untuk sekali lagi mengemukakan surat tuntutan (LOD) terhadap bekas bapa mentuanya itu bagi pihaknya dan Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin.
Hal ini ekoran tokoh agamawan terbabit telah bertindak memfitnahnya melalui hantaran itu dengan mengatakan bahawa Mufti Perlis yang turut dikenali sebagai Dr MAZA membiayai kos peguam Shakila melalui dana peribadi dan/atau peruntukan zakat.
“Ekoran hantaran Facebook tersebut, peguam saya telah pun mengeluarkan LOD bagi pihak saya dan juga Dr Maza (Mufti Perlis) terhadap Engku Fadzil di atas cerita ‘Mufti Perlis membiayai peguam Shakila melalui dana peribadi dan/atau dana zakat’.
“Hal ini kerana ia merupakan satu tohmahan jahat dan fitnah beliau. LOD tersebut telah pun diterima dan ditandatangani oleh pihak beliau (Engku Fadzil) pagi tadi.” Ujar Shakila dalam satu hantaran yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya pada Selasa.
Terdahulu, Ustaz Engku telah memfailkan saman fitnah sivil terhadap Shakila atas dakwaan menabur fitnah dan mempunyai niat jahat menjatuhkan reputasinya dengan mengeluarkan kenyataan berhubung pengguguran kandungan.
Mahkamah bagaimanapun mendapati Engku Fadzil telah gagal membuktikan kes dan mengarahkannya untuk membayar kos sebanyak RM25,000 terhadap bekas menantunya yang berusia 28 tahun itu.
Shakila juga telah memfailkan kes saman balas berkaitan dengan dakwaan penipuan kerana Engku Fadzil melalui bekas suaminya, Engku Fakhruddin telah memujuknya untuk menggugurkan kandungan dengan alasan bahawa Fatwa Negeri Perlis dan Pahang membenarkan perbuatan tersebut.
Bekas ratu cantik itu telah berjaya membuktikan kes di mahkamah terhadap Engku Fadzil dan Engku Fakhruddin sebelum pihak mahkamah mengarahkan mereka untuk membayar ganti rugi tambahan sebanyak RM80,000 kepada Shakila.
Baca juga: Nyanyi lagu Siti Sarah macam profesional, Ira Kazar selama ini sorok bakat menyanyi?