Malaysia Dateline

Bekas MP Baling lepas bebas kes rasuah, pengubahan wang haram projek jalan raya

Bekas Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim hari ini dilepas dan dibebaskan daripada tiga tuduhan rasuah dan enam tuduhan pengubahan wang haram berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah.

Pemimpin BN itu pada 23 September lalu dilepas tanpa dibebaskan oleh Hakim Mahkamah Sesyen selepas pendakwaan memohon beliau dilepas tanpa dibebaskan mengikut Seksyen 254 (3) Kanun Acara Jenayah atas alasan representasi tertuduh dipertimbangkan dan memerlukan siasatan lanjut.

Pada prosiding di Mahkamah Tinggi hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azhar Abdul Hamid membenarkan permohonan notis usul yang dikemukakan peguam bela Amer Hamzah Arshad supaya anak guamnya dibebaskan terus daripada semua pertuduhan berkenaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nik Haslinie Hashim, memaklumkan kepada mahkamah, pendakwaan tidak membantah permohonan notis usul Abdul Azeez.

“Oleh kerana tiada bantahan daripada pendakwaan, notis usul ini dibenarkan dan pemohon dengan ini dilepas dan dibebaskan daripada semua tuduhan,” kata hakim.

Abdul Azeez dituduh mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM dan Seksyen 28(1)(c) akta sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Baca juga Dipecat Umno? Annuar mimpi ditarik keluar dari api, mampu lihat rumah pusaka terbakar