Bekas MP Labuan sahkan terajui Bersatu Labuan

Bekas MP Labuan sahkan terajui Bersatu Labuan

Bekas Anggota Parlimen Labuan Datuk Suhaili Abd Rahman mengesahkan akan mengetuai jawatankuasa penaja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Labuan.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika dihubungi selepas sekumpulan pengasas Bersatu Labuan mengadakan pertemuan dengannya untuk membincangkan kepimpinan parti itu, di sini.

“Saya bersetuju untuk mengetuai parti itu seperti yang diminta oleh kumpulan pengasas Bersatu Labuan. Saya hanya boleh katakan Bersatu akan membantu memperkukuhkan Pakatan Harapan di Labuan bagi kepentingan penduduk dan pulau ini,” katanya.

Seorang daripada pengasas itu, Johari Abidin berkata Suhaili yang merupakan ahli politik berpengalaman dengan rekod pencapaian yang baik selaku Anggota Parlimen Labuan, adalah anggota seumur hidup Bersatu sejak Mac tahun ini.

“Memandangkan kami sememangnya tahu tentang kepimpinannya, dengan pengalaman menjadi MP selama dua penggal, dan 90 peratus pembangunan pulau ini dilaksanakan semasa era beliau menjadi wakil rakyat, kami berpendapat beliau harus diberi peluang lagi untuk menerajui sebuah parti politik,” katanya menerusi mesej WhatsApp.

Bersatu Sabah akan dilancarkan pada 6 April ini oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga pengerusi Bersatu. BERNAMA