Bekas Naib Canselor UiTM anggap tak salah pelajar hadiri sambutan Umno

Bekas Naib Canselor UiTM anggap tak salah pelajar hadiri sambutan Umno

Bekas Naib Canselor UiTM Prof Emeritus Tan Sri Sahol Hamid Abu Bakar mempertahankan tindakan Universiti Teknologi MARA (UiTM) mengerahkan para pelajarnya hadir ke sambutan Hari Umno 71 di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam dan menyifatkannya sebagai ‘satu proses pembelajaran’.

“Jika betul sekalipun, Umno berhak memohon UiTM menghantar pelajarnya ke sambutan ulang tahun ke-71 parti itu,” katanya ketika dihubungi.

Sahol mendakwa universiti itu diwujudkan Umno untuk orang Melayu dan Bumiputera.

“UiTM universiti yang diwujudkan oleh Umno. Tak salah Umno memohon UiTM untuk menghantar pelajar. ‘Its a learning process’. Sebahagian daripada pengetahuan yang perlu tahu.

“Asal usul UiTM perlu diketahui pelajar. UiTM universiti untuk orang Melayu dan Bumi (Bumiputera). Umno parti Melayu. Logiklah ia dihadiri pelajar Melayu,” katanya kepada FMT.

Armada PPBM dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) semalam mengkritik pengurusan UiTM dan beberapa universiti awam semalam kerana mengerahkan pelajar ke perhimpunan Umno itu dan menyifatkannya sebagai memperalatkan pelajar.

Para pemimpin Umno selama ini melarang keras pembabitan pelajar dalam politik dan mahu para pelajar menumpukan perhatian kepada pengajian sepanjang berada di universiti.

Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dan Akta 174 digubal kerajaan BN yang diterajui Umno bagi membendung aktivisme pelajar dan menghalang pembabitan aktif pelajar dalam politik.

Sahol menambah, parti pembangkang tidak perlu dwistandard dalam perkara ini.

“Semua parti berbuat demikian. Parti pembangkang berbuat demikian tanpa pengetahuan dengan kemahuan pelajar,” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)