Bekas Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Kamilia sokong calon Amanah

Bekas Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Kamilia sokong calon Amanah

Datuk Kamilia Ibrahim berucap menyokong calon Amanah di program Deklarasi Rakyat dekat Manong Kuala Kangsar sambil diperhatikan Tun Mahathir.

Bekas Naib Ketua Wanita Umno Datuk Kamilia Ibrahim hari ini hadir ke forum Selamatkan Malaysia Bersama Deklarasi Rakyat dan secara terbuka menyatakan sokongan kepada calon Parti Amanah Negara (Amanah) bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar Dr Ahmad Termizi Ramli.

Berucap di hadapan kira-kira 500 orang di Pekan Manong hari ini, Kamilia menyeru pengundi di Kuala Kangsar memilih Ahmad Termizi yang disifatkan sebagai sangat layak untuk membawa suara rakyat ke parlimen.

“Kuasa undi ini seperti berperang. Undi boleh buat perubahan.

“Pilihlah calon Amanah, Dr Ahmad Termizi Ahmad yang bijak pandai, anak tempatan.

“Beliau boleh membuat perubahan di Kuala Kangsar dan beliau faham masalah di Kuale ini,” katanya disambut tepukan gemuruh.

Kamilia pernah bertanding sebagai calon Bebas di Kuala Kangsar pada pilihan raya umum ke-13.

Beliau menentang calon partinya dari BN sendiri Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad dan Idham Lim (Pas) dalam pertembungan tiga penjuru.

Sejurus sahaja disahkan sebagai calon, beliau juga mengumumkan keluar Umno dan melepaskan semua jawatannya dalam Umno.

Selain naib ketua wanita Umno, Kamilia juga melepas jawatan sebagai ahli Majlis Tertinggi Umno dan ketua Wanita Umno Kuala Kangsar.

Kamilia juga berkata, rakyat perlu membuka mata mengenai penyelewengan dalam Umno BN termasuk perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Kehadiran Tun Mahathir amat penting kepada kita ketika ini.

“Kenapa Tun (Mahathir) sanggup hadir ke Manong? Mesti ada sesuatu yang mengancam keselamatan negara ketika ini,” katanya.

Selain Kamilia turut berucap bekas ketua wanita Umno Bahagian Kuala Kangsar Datuk Hamidah Othman dan bekas naib ketua Umno Bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Ini merupakan kali kedua Tun Mahathir turun berkempen untuk calon Amanah di Kuala Kangsar selepas kehadiran pertama Ahad lalu.

COMMENTS

Wordpress (0)