Malaysia Dateline

Bekas orang kanan ‘Ku Nan’ antara ditahan SPRM

Orang kanan bekas Menteri Wilayah Persekutuan yang bergelar ‘datuk’ adalah antara yang ditangkap oleh Suruhanjaya Pencegahan rasuah Malaysia (SPRM) dalam operasi cegah rasuah semalam.

‘Datuk’ itu ditahan bersama seorang Timbalan Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur ekoran dakwaan rasuah untuk projek-projek di Kuala Lumpur.

Turut ditahan adalah dua orang kontraktor dan seorang orang tengah dalam kegiatan mereka.

Menurut sumber, SPRM turut menahan isteri dan anak kepada orang tengah berkenaan untuk siasatan.

Menurut maklumat yang diperolehi Malaysia Dateline, orang kanan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor itu terkenal sebagai ‘runner’ dalam kerja-kerja mendapatkan rasuah.

Mahkamah Majistret hari ini membenarkan kelima-lima mereka dikenakan reman selama lima hari untuk siasatan lanjut.

Mereka ditahan bagi membantu siasatan kes menerima dan memberi wang rasuah bernilai RM200,000.

Perintah reman tersebut dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya semalam.

Kelmarin, SPRM telah menahan kesemua suspek berusia antara 41 hingga 57 tahun itu di sebuah restoran sekitar Kuala Lumpur antara jam 12 hingga 12.30 tengah malam.

Pada 15 Novemner tahun lepas, Tengku Adnan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas dua pertuduhan menerima rasuah RM3 juta berhubung penjualan tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).