Bekas pegawai kanan BNM gesa buka siasatan,sedia bagi keterangan

Bekas pegawai kanan BNM gesa buka siasatan,sedia bagi keterangan

Bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Abdul Murad Khalid menggesa pihak berkuasa membuka semula siasatan membabitkan kerugian USD10 bilion (RM44bilion) melalui kegiatan matawang antara tahun 1991 hingga 1993 oleh bank pusat itu.

Abdul Murad berkata, beliau bersedia memberi kerjasama jika diperlukan.

Beliau mendedahkan bank pusat itu mencatatkan kerugian sebanyak USD10 bilion (RM44 bilion) melalui kegiatan perdagangan mata wang sepanjang 1991 hingga 1993, jauh lebih besar daripada jumlah yang dilaporkan sebelum ini.

Dalam temubual eksklusif Abdul Murad dengan beberapa media arus perdana itu dipetik berkata, Laporan Tahunan BNM pada 1994 hanya mencatatkan kerugian sebanyak RM9 bilion sahaja akibat kegiatan itu, sedangkan angka sebenar adalah jauh lebih besar.

Menurut beliau, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pernah meminta BNM memberi penjelasan tentang kerugian yang dikatakan terbesar pernah dicatatkan dalam sejarah perbankan antarabangsa itu.

“Apa yang pelik, tiada siasatan lanjut dijalankan walaupun kerugian mencecah AS$10 bilion. Pihak berkuasa mempersoalkan perkara ini namun ia terhenti di situ,” katanya seperti yang dipetik.

Isu kerugian yang dialami BNM akibat kegiatan perdagangan mata wang itu menggemparkan negara pada 1994 namun tiada tindakan lanjut diambil terhadap pihak yang terlibat.

Pada masa itu, pelbagai pihak termasuk bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin mempersoalkan mengapa BNM dilibatkan dalam kegiatan spekulasi mata wang yang beri­siko tinggi untuk mengalami kerugian.

Walau bagaimanapun, pada 3 April 1994, Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, kerugian sebanyak RM5.7 bilion yang dialami oleh BNM dalam transaksi perdagangan wang asing pada 1993 tidak menjejaskan kedudukan kewangan negara.

Abdul Murad menambah, transaksi berbentuk spekulasi melibatkan pelbagai mata wang asing termasuk pound sterling, dolar Amerika Syarikat (AS), mark Jerman dan yen itu direkodkan oleh seorang kakitangan berpangkat rendah BNM.

Beliau memberitahu, sebarang kerugian dalam transaksi berkenaan sepatutnya dilaporkan kepada Bahagian Akaun BNM namun perkara itu didakwa tidak berlaku.

“Mereka mungkin menyembunyikan maklumat tentang kerugian tersebut dengan memindahkan caj kepada akaun rizab yang lain,” jelasnya.

Abdul Murad berkata, tindakan dalaman juga tidak diambil bagi memastikan pihak yang terlibat menggantikan semula dana rezab BNM yang hilang akibat transaksi berkenaan.

“Tiada jawatankuasa dalam BNM yang memantau transaksi ini. Semuanya dilakukan oleh seorang individu,” katanya.

Beliau berpandangan, kegiatan spekulasi mata wang adalah di luar skop BNM dan bank pusat itu sepatutnya memainkan peranan mengawal peredaran ringgit.