Bekas peguam Pas Kelantan terima sijil Amanah

Bekas peguam Pas Kelantan terima sijil Amanah

Bekas penasihat undang-undang Pas Kelantan Hisham Fauzi menerima sijil keahlian Amanah daripada Pengerusi Biro Undang-undang (Kanun) Amanah Nasional Hanipa Maidin di ibu kota Kuala Lumpur, semalam.

Penyerahan sijil itu dibuat pada majlis berbuka puasa bersama-sama anggota Kanun di sebuah restoran makanan Arab.

Hanipa dalam status di facebooknya melahirkan perasaan gembira dengan keputusan Hisham menyertai Amanah.

Hisham ujar beliau, ialah peguam yang terlibat dalam Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah di Kelantan dan juga mewakili Kerajaan Kelantan dalam Jawatankuasa Teknikal Pelaksanaan Syariah peringkat pusat.

“Beliau tahu banyak tentang isu RUU (Rang Undang-undang) 355,” katanya.

Menurut Hanipa, walaupun Hisham ialah kawan lama beliau dan banyak berkorban membantu Pas Kelantan, beliau tidak pernah mempelawa peguam itu menyertai Amanah.

“Para peguam Kanun dalam gambar ini dulunya semua daripada parti suci (Pas) dan banyak sumbang tenaga, masa, pemikiran dan harta mereka kepada parti suci… tapi kini semua dah lari masuk Amanah… Alhamdulillah,” tulis beliau.

Hisham mengisytiharkan diri menyertai Amanah dalam Ceramah Pakatan Harapan di Pengkalan Chepa, 25 Mei lalu.

Tampil berkongsikan rasa kecewanya terhadap Pas, beliau memberitahu tiga daripada enam Ahli Jawatankuasa Teknikal Pelaksanaan Syariah Persekutuan telah menyertai Amanah.

Bekas penasihat undang-undang Pas itu tidak dapat lagi menerima sikap Pas pada masa ini yang gagal bertindak menyuarakan kesempitan ekonomi rakyat.

“Saya salah seorang enam daripada Ahli Jawatankuasa Teknikal Pelaksanaan Syariah Persekutuan. Kita dalam jawatankuasa membincangkan bagaimana untuk melaksanakan syariah di Malaysia.

“Tapi daripada enam itu, tiga sudah masuk Amanah. Dr Zulkarnain, peguam Tarmizi dan malam ini saya secara terbuka menyatakan saya juga masuk Amanah,” ujarnya

Beliau menyifatkan pemimpin Pas termasuk ahli parlimen parti itu hanya seperti “pasu bunga” kerana tidak menunjukkan pendirian jelas membela rakyat dan masa depan negara.

TAGS