Bekas pekerja Tamil Nesan mohon campur tangan menteri selesai tunggakan gaji

Bekas pekerja Tamil Nesan mohon campur tangan menteri selesai tunggakan gaji

Setelah lapan bulan menanti penyelesaian berhubung masalah tunggakan gaji dan pampasan, seramai 40 bekas pekerja akhbar Bahasa Tamil, Tamil Nesan hari ini menuntut campur tangan Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran agar isu itu diselesaikan.

Bekas editor akhbar berkenaan K. Padmanabhan berkata beliau berharap masalah yang sedang ditanggung semua bekas pekerja terbabit mendapat perhatian segera kementerian memandangkan mereka teraniaya kerana masih tidak mendapat hak seperti dijanjikan.

“Kami perlu mendapatkan gaji kami dan bayaran faedah mengikut tempoh perkhidmatan kerana diberhentikan kerja seperti yang dijanjikan dan tertulis melalui surat bertarikh 28 Jan 2019. Masalah ini sudah berlarutan lama.

“Kami tumpang gembira apabila masalah yang dihadapi kira-kira 800 pekerja Utusan Melayu (Malaysia) Bhd dapat perhatian ramai termasuk para pemimpin kerajaan dan pembangkang. Kami juga berharap kemelut kami ini dapat diselesaikan dengan campur tangan menteri,” katanya.

Padmanabhan ditemui pemberita selepas mengetuai protes bersama para bekas pekerja akhbar itu yang rata-ratanya telah berkhidmat selama 30 hingga 40 tahun di hadapan bangunan pejabat bekas majikan mereka Datuk Seri S. Vell Paari di Damansara Heights di sini, hari ini.

Selain tunggakan gaji dan pampasan pekerja, Padmanabhan berkata mereka turut menuntut Vell Paari menyelesaikan kesemua caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja serta tunggakan bayaran insurans kesemua pekerja bernilai keseluruhan hampir RM1.4 juta.

Beliau turut menggesa agar Vell Paari berjumpa dengan semua bekas pekerjanya itu bagi menyelesaikan masalah berkenaan dalam tempoh seminggu dan sekiranya gagal diselesaikan mereka merancang mengadakan satu lagi protes pada Jumaat depan.

Syarikat akhbar Bahasa Tamil yang tertua di Asia Tenggara yang beroperasi sejak 1924 itu ditutup pada 1 Feb lepas selepas 96 tahun beroperasi.

Difahamkan syarikat itu telah berjanji untuk membayar keseluruhan gaji kepada semua bekas pekerjanya tetapi sehingga kini mereka masih belum menerima apa-apa bayaran gaji sejak bulan Mac sehingga kini.