Bekas pengarah Felda, jurutera daerah calon AMANAH di Johor

AMANAH Johor malam tadi mengumumkan senarai calonnya bagi zon tengah Johor yang membariskan calon-calon berwibawa bagi menggalas cabaran Pakatan Harapan (PH) untuk menerajui negeri selatan Semenanjung itu.

Pengumuman calon parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) itu dibuat presiden AMANAH Mohamad Sabu pada ceramah Luaskan Harapan yang berlangsung di Parit Botak, Batu Pahat.

Turut hadir pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong dan pengerusi PKR negeri Hassan Karim.

Ketua Wanita Muda (Warda) AMANAH Nasional, Anis Afida Mohd Azli diisytihar sebagai calon AMANAH bagi kawasan parlimen P147 Parit Sulong.

Pengerusi AMANAH negeri Aminolhuda Hassan kekal di kawasan Dun yang diwakilinya iaitu N21 Parit Yaani, Dr. Sulaiman Mad Nor (N4 Kemelah), Ir Khairuddin A Rahim (N24 Senggarang), Muhammad Said Jonit (N29 Mahkota) dan Taqiuddin Cheman (N54 Pulai Sebatang).

Mohamad mengumumkan Aminolhuda sebagai calon AMANAH di Parit Yaani.

Muhammad Said yang bakal bertanding di N29 Mahkota ialah bekas pengarah eksekutif Felda Plantation Sdn. Bhd. manakala Ir Khairuddin yang kini menyandang setiausaha AMANAH Johor pernah bertugas sebagai jurutera daerah di negeri ini.

Antara pemimpin AMANAH negeri yang turut tersenarai sebagai calon ialah ketua Pemuda AMANAH negeri Taqiuddin Cheman di N54 Pulai Sebatang dan naib pengerusi AMANAH Johor Dr. Sulaiman Mad Nor di N4 Kemelah.