Bekas Pengarah Urusan MAS meninggal dunia

Bekas Pengarah Urusan MAS meninggal dunia

Bekas Pengarah Urusan Malaysia Airlines Bhd, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman, 87, meninggal dunia, lewat malam tadi.

Laporan pemergian Allahyarham disahkan Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) dalam kenyataan menerusi Facebook rasminya, pagi tadi.

“Salam takziah kepada seisi keluarga Allahyarham yang meninggal dunia lewat malam Rabu (semalam).

“Jasa Allahyarham akan dikenang warga pekerja MAS. Semoga rohnya dicucuri rahmat,” menurut kenyataan itu.

Syarikat penerbangan negara itu berkembang menjadi jenama unggul dunia ketika Allahyarham bersara pada 1991.

 Dalam catatan Facebook anak Allahyarham Anita Azrina, yang turut memaklumkan bapanya meninggal dunia pada pukul 11.51 malam.

“Doakan Allah redha, beri keampunan dan rahmati ayahanda Abd Aziz dan dipermudahkan segala urusan seluruh keluarga kita semua,” katanya dalam catatan itu.

Allahyarham yang menghidap kanser esofagus, meninggal dunia di sebuah hospital swasta dan jenazah di bawa ke Masjid Saidina Umar Bukit Damansara, di sini pada pukul 9 pagi untuk disolatkan, akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

Abdul Aziz mula menyertai syarikat penerbangan itu pada April 1971 sebagai Setiausaha Syarikat/ Pengarah Hal Ehwal Undang-Undang MAS, sebelum dilantik sebagai Pengarah Urusan pada 1982 dan bersara pada 1991.

Sementara itu, Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Salam takziah buat seisi keluarga Allahyarham…jasa kamu (Allahyarham) akan dikenang oleh warga pekerja MAS,” menurut catatat Facebook kesatuan  itu.