Malaysia Dateline

Bekas Pengerusi LKIM gesa baiki rantaian bekalan selamatkan petani, nelayan

Bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil, menggesa agar kerajaan membaiki segera rantaian bekalan industri pertanian dan perikanan dalam negara bagi memastikan keadaan ekonomi golongan itu tidak terus terjejas ekoran wabak Covid-19.

Faiz turut memetik laporan terbaharu Jabatan Perangkaan yang mencatatkan hampir 22 peratus responden dari sektor pertanian kehilangan pekerjaan, diikuti sebanyak 33 peratus individu dalam subsektor perikanan kehilangan punca pendapatan.

Laporan itu turut menyatakan bahawa hampir 80 peratus responden daripada subsektor perikanan mengalami kejatuhan pendapatan bulanan, di mana sebanyak 48.2 peratus individu mengalami penurunan pendapatan melebihi 50 peratus.

Apa yang membimbangkan, kata Faiz, majoriti petani dan nelayan tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk menampung kos sara hidup, terutamanya jika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan terus berlarutan.

“Walaupun hasil tuai petani dan hasil tangkapan nelayan masih ada, namun disebabkan ketiadaan sistem pengangkutan, pengestoran dan pemprosesan yang lancar, maka sayur-sayuran dan hasil laut tidak sampai ke tangan pembeli.

“Ini juga menyebabkan terdapat hasil pertanian seperti sayur dan ikan terpaksa dibuang seperti yang dilaporkan baru-baru ini. Sepatutnya, isu tersebut ditangani kerajaan lebih awal lagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Adun Permatang Pasir itu juga mendakwa, tiada usaha yang konkrit dari pihak kerajaan untuk membantu industri perikanan dan pertanian biarpun Pakej Rangsangan Prihatin menyebut sedikit sebanyak tentang industri tersebut.

Faiz berkata, kekhuatiran ketika ini tertumpu kepada kemungkinan industri terbabit akan lumpuh sehingga menyebabkan kenaikan harga barang secara mendadak sekiranya masalah rantaian bekalan terus berlarutan.

Justeru tegasnya, kerajaan terutama kementerian Pertanian perlu bekerjasama dengan pihak swasta untuk memulihkan sebahagian rantaian bekalan yang mustahak, terutamanya dalam menangani isu pengangkutan.

“Konsep ‘home delivery’ untuk sayur-sayuran dan hasil laut terus dari ladang dan jeti perlu dipergiatkan.

“Usaha ini boleh diperluaskan menerusi kerjasama platform e-dagang yang lain dan bantuan kewangan daripada kerajaan untuk memudahkan proses pengangkutan hasil tani dan laut.

“Saya berharap agar kerajaan dapat bertindak segera dalam isu ini untuk memastikan rantaian bekalan industri pertanian dan perikanan tidak terjejas teruk dan harga makanan asas terus terkawal,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional itu lagi.