Bekas Bendahari Pas Pokok Sena sertai Amanah

Bekas Bendahari Pas Pokok Sena sertai Amanah

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Ketika para pemimpin Pas sibuk membuat kenyataan kononnya ada di kalangan ahli parti itu yang menyertai Amanah ingin kembali semula ke pangkuan Pas, satu demi satu pemimpin Pas mula berhijrah menyertai Amanah.

Di POKOK SENA dekat sini, bekas Bendahari Pas Kawasan Pokok Sena Yusuf Ariffin telah menyerahkan borang keahlian Amanah kepada Penasihat Umum Amanah, Ustaz Ahmad Awang.

Penyerahan borang keahlian Yusuf disaksikan Naib Presiden Amanah, Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus, Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh dan Ketua Amanah Pokok Sena, Omar Awang.

Yusuf yang kini seorang usahawan produk herba tradisional pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Beliau juga bekas pemberita Harakah.

Ustaz Abu Kassim berucap dalam majlis anjuran Amanah Kawasan Jerlun.

Di JERLUN, Majlis Hi-Tea dan Sembang Santai anjuran Amanah Kawasan Jerlun berlangsung di kediaman bekas Pengerusi Tetap Pas Pusat, Dato’ Abu Kassim Lebai Abdullah di Kampung Kodiang Lama.

Program yang bermula jam 5.00 petang 19 Februari lalu dihadiri Ustaz Ahmad Awang dan Ustaz Hasanuddin.

Ustaz Abu Kassim ialah antara veteran Pas yang dilihat menyokong  Amanah dan menjadi penggerak penubuhan Amanah di negeri jelapang padi itu khususnya di daerah Jerlun.

Semasa berkhidmat sebagai Pengerusi Tetap Pas Pusat, celoteh beliau sepanjang mengendalikan muktamar tahunan Pas menarik perhatian hadirin.

Beliau kerap menyelitkan pantun, kata-kata nasihat, sindiran dan usikan bagi menghidupkan suasana muktamar.

Kebijaksanaan Ustaz Abu Kassim dalam mengendalikan muktamar seringkali mendapat pujian bekas Presiden Pas, Ustaz Fadzil Mohd Noor.

Beliau dianugerahkan gelaran Datuk oleh Sultan Kedah ketika negeri Kedah ditadbir Pakatan Rakyat.

TAGS