Bekas perdana menteri Pakistan Nawaz Sharif jalani rawatan di London

Bekas perdana menteri Pakistan Nawaz Sharif jalani rawatan di London
Nawaz Shariff. -Foto AFP

Bekas Perdana Menteri Pakistan Nawaz Sharif pada Selasa berlepas ke London untuk menjalani rawatan selepas mendapat kebenaran mahkamah,lapor agensi berita Xinhua.

Perkara itu disahkan oleh Jurucakap Parti Liga Muslim Pakistan-Nawaz (PML-N), Maryam Aurangzeb.

Beliau berkata selepas ke London, Nawaz Sharif mungkin akan ke Amerika Syarikat pula untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Mahkamah Pakistan pada Sabtu membenarkan Nawaz Sharif ke luar negara untuk menjalani rawatan selama sebulan.

Nawaz Sharif yang pernah menjadi Perdana Menteri sebanyak tiga penggal, sedang menjalani hukuman penjara tujuh tahun atas tuduhan rasuah.

Bulan lalu Mahkamah Tinggi Islamabad menangguhkan sementara hukuman yang dijatuhkan kepada bekas perdana menteri itu selama lapan minggu atas faktor kesihatan.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat ke London kerana namanya berada dalam senarai yang tidak dibenarkan ke luar negara tanpa kebenaran kerajaan.

Mahkamah Tinggi Lahore kemudian memberikan pelepasan selama sebulan dan perlu kembali semula untuk menjalani hukuman.-Bernama.