Bekas perogol bersiri pulang ke Malaysia

Bekas perogol bersiri pulang ke Malaysia

Bekas perogol bersiri warganegara Malaysia, S. Selva Kumar yang baru dibebaskan selepas menjalani hukuman penjara 24 tahun di Toronto, Kanada, tiba di tanah air hari ini.

Difahamkan, dia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 7.30 pagi dengan menaiki pesawat Qatar Airways dari Doha.

Sebaik tiba, Selva Kumar, 56, kemudian difahamkan dibawa ke Pusat Operasi Imigresen KLIA untuk direkodkan keterangan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen.

Bagaimanapun, usaha lebih 20 pengamal media yang telah menunggu sejak pukul 7 pagi untuk merakamkan ketibaan Selva Kumar gagal apabila dia dipercayai mengelak daripada media.

Pihak media yang menunggu di balai ketibaan antarabangsa dimaklumkan oleh polis bantuan KLIA bahawa Selva Kumar keluar menggunakan laluan balai ketibaan domestik KLIA pada pukul 9.50 pagi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Seri Abdul Samah Mat ketika dihubungi mengesahkan kepulangan Selva Kumar namun beliau enggan mengulas lanjut.

Selva Kumar, yang berasal dari Pulau Pinang, dihukum penjara selama 24 tahun pada 1992 setelah didapati bersalah termasuk bagi 19 tuduhan serangan seksual.

Tempoh tahanan penjaranya tamat pada 29 Januari lepas.

Laporan media asing memetik pihak berkuasa Penjara Kanada sebagai berkata terdapat risiko tinggi yang Selva Kumar akan mengulangi perbuatannya dan mungkin membunuh.

TAGS