Bekas perunding perhubungan awam Najib diburu SPRM

Bekas perunding perhubungan awam Najib diburu SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan seorang warga British yang pernah bekerja sebagai perunding perhubungan awam (PR) dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Paul Stadlen, bekas ketua firma perhubungan awam Apco Worldwide cawangan Malaysia, dipercayai merupakan salah seorang anggota pasukan komunikasi Najib di Jabatan Perdana Menteri.

SPRM dalam kenyataannya hari ini memberitahu Stadlen, 39, dikehendaki untuk soal siasat berkaitan kes berprofil tinggi, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai lelaki yang beralamat terakhir di Loft Sentral Condominium di KL Sentral itu boleh menghubungi pegawai SPRM Zuhaila Arip (Tel: 03-8870-0354) atau Fahmee Md Noor (03-8870-0419).

Stadlen mendapat liputan media pada 2015 apabila pembangkang mempersoalkan gaji lumayan yang dibayar kepadanya, tetapi dinafikan oleh pentadbiran sebelum ini.

Sarawak Report mendakwa Stadlen dibayar “berjuta-juta ringgit” kerana membantu menggubal dasar komunikasi Putrajaya ketika itu.

Stadlen dilaporkan ditawarkan sebanyak AS$420,000 untuk kontrak enam bulan sebagai penasihat pentadbiran Najib.

Bekas syarikat Stadlen, Apco berhadapan penelitian rapi apabila didedahkan bahawa firma PR itu mendapat bayaran tinggi bagi mempromosi kempen kerajaan lepas, termasuk slogan 1Malaysia.

Syarikat berkenaan, yang juga digunakan oleh ahli politik kerajaan di Israel dan India, kemudiannya dibatalkan daripada peranan itu, walaupun Stadlen dikatakan berjaya memperoleh kontrak lumayan dengan kerajaan sebelum ini.