Malaysia Dateline

Bekas pesakit Covid-19 alami komplikasi, tidak mustahil akan dijangkiti lagi

Pengamal perubatan mengingatkan bekas pesakit Covid-19 akan mengalami pelbagai komplikasi jangka panjang walaupun pulih daripada pandemik itu.

Dr Sakinah Sulong berkata, banyak masalah dialami pada organ badan terutama paru-paru sama ada bagi bekas pesakit Covid-19 lelaki mahu pun perempuan.

“Setelah setahun kita mengenal kuman SARS-CoV 2 ini, penyelidik mendapati ada banyak komplikasi jangka masa panjang setelah Covid-19.

“Hilang deria bau, salah satu daripadanya. Strok boleh berlaku. Serangan sakit jantung boleh berlaku. Keupayaan paru-paru boleh berkurang.

“ARDS, Thromboembolism, Cardiac problem dan macam-macam lagi,” katanya menjawab salah satu soalan warganet di Facebooknya.

Bagaimanapun, jelasnya, kajian menunjukkan tahap keupayaan menjangkitkan Covid-19 akan berkurang dengan banyak selepas hari ke-10 simptom bermula.

“Walaupun simptom batuk atau hilang deria bau itu masih ada berbulan-bulan, tetapi mereka sudah tidak menjangkitkan kepada orang lain.

“Namun, tidak mustahil mereka akan dijangkiti lagi buat kali kedua pada masa akan datang!” jawabnya lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai sikap ahli politik tertentu termasuk menteri yang baharu sembuh Covid-19 tetapi sudah merayap ke sana sini.

Terbatuk-batuk

Terdahulu, Dr Sakinah berkongsikan pengalaman rakannya yang disahkan positif Covid-19 pada awal Disember lalu.

“Dia terbatuk-batuk masa kami bercakap. Seluruh keluarganya juga kena, termasuk suami dan anak-anak.

“Dia cuma dalam kategori 2. Ada demam, menggigil, sakit tekak dan batuk. X-ray dadanya nampak normal.

“Lepas keluar wad, beliau dah beransur baik. Tiada demam atau sakit tekak. Tapi masih ada batuk dan rasa mengah bila berjalan naik tangga.

“Padahal, dia ini masih muda, tiada penyakit, badan pun langsing,” katanya.

Oleh sebab itu, Dr Sakinah menegaskan Covid-19 bukan seperti penyakit flu biasa dan mengingatkan orang ramai agar menerima suntikan vaksin.

Dr Hisham dan pasukan KKM di Putrajaya.

Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini mengesahkan telah mengenalpasti satu lagi komplikasi yang terpaksa dihadapi oleh pesakit yang sembuh daripada jangkitan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdulllah berkata, ketahanan tubuh pesakit adalah tidak kekal selepas tiga bulan mereka sembuh, di mana Immunoglobulin G (IgG) dan Immunoglobulin M (IgM) akan berkurangan.

Ini sekali gus, kata beliau, menyebabkan bekas pesakit berkenaan mudah terdedah kepada jangkitan lain.

“Kalau individu tersebut mempunyai imuniti yang rendah, (mereka) mudah untuk mendapat jangkitan kuman bukan hanya Covid-19, tetapi kuman lain,” katanya dalam sidang media, 24 Jun tahun lalu.

Jelas Dr Noor Hisham, KKM ketika itu memberi tumpuan kepada rawatan susulan dan pemantauan terhadap pesaki-pesakit yang telah sembuh terutama bagi kategori empat dan lima.

“Mereka sedang dalam proses untuk kita lihat kesan sampingan jangka panjang, yang itu kita sedang laksanakan,” katanya lagi.