Pihak polis telah menahan seorang bekas peserta sebuah program realiti komedi popular awal pagi Khamis (hari ini) kerana dipercayai merogol gadis barusia 20-an di sekitar Johor Bahru.
Penangkapan pelawak terbabit turut disahkan oleh Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat selepas dihubungi pihak media sebentar tadi, lapor Kosmo.
Menurut Raub Selamat, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an yang merupakan bekas peserta program stesen televisyen berbayar tempatan itu ditahan di sekitar bandar raya tersebut, awal pagi tadi.
Pelawak berkenaan juga difahamkan telah dikenakan perintah tahanan reman oleh mahkamah sehingga Khamis depan sementara siasatan kes dijalankan pihak berkuasa.
“Suspek telah dikenakan reman selama lima hari bermula hari ini hingga 2 Disember depan. Polis sedang menjalankan siasatan terhadap kes ini mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya memetik laporan Kosmo.
Sekiranya disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan.
Perintah reman terhadap suspek berkenaan dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rendah Johor Bahru, Muhammad Fitri Mokhtar.
Sekadar info, bekas peserta program realiti komedi popular tersebut dikatakan pernah terlibat di dalam beberapa program di negeri Johor sebagai pengacara majlis.
Baca juga: Kerap mengaji berdua, Shukri Yahaya kongsi perubahan isteri bawa aura positif