Malaysia Dateline

Bekas PM Jepun Abe rebah selepas ditembak

Bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe rebah ditembak seorang lelaki ketika sedang berkempen di wilayah Nara hari ini.

Badan penyiaran NHK melaporkan, Abe ditembak oleh lelaki berusia dalam lingkungan 40-an dan telah ditangkap atas cubaan membunuh.

Polis turut merampas senjata api suspek.

Abe sedang menyampaikan ucapan pada satu perhimpunan politik menjelang pemilihan dewan tinggi pada Ahad ini apabila bunyi tembakan kedengaran, lapor NHK dan agensi berita Kyodo.

“Beliau sedang berucap dan seorang lelaki menyelinap dari belakang secara tiba-tiba.

“Tembakan pertama berbunyi seperti pistol mainan. Abe tidak rebah. Tembakan kedua boleh dilihat, anda boleh melihat percikan api dan asap,” kata seorang wanita yang berada di lokasi kejadian.

Memetik AFP, Abe kemudian rebah dan terdapat pendarahan pada lehernya, kata sumber partinya, Parti Liberal Demokratik kepada agensi berita Jiji Pess.

Abe dibawa ke hospital dan tiada tanda-tanda menunjukkan beliau masih hidup.

Media tempatan turut dilaporkan bahawa pemimpin itu ditembak dengan menggunakan senapang patah.

Abe yang merupakan perdana menteri Jepun paling lama berkhimat, memegang pentadbiran negara pada 2006 selama setahun dan sekali lagi dari 2012 hingga 2020 apabila beliau terpaksa meletak jawatan kerana faktor kesihatan.