Bekas PM Pakistan Nawaz Sharif dijatuhi hukuman penjara 10 tahun kerana rasuah

Bekas PM Pakistan Nawaz Sharif dijatuhi hukuman penjara 10 tahun kerana rasuah

Mahkamah anti rasuah Pakistan mendapati bekas Perdana Menteri Nawaz Sharif bersalah atas tuduhan rasuah dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda sebanyak AS10.5 juta.

Perkembangan ini dikatakan bakal memberikan tamparan hebat kepada peluang Parti PML-N dalam pilihan raya umum akan datang, lapor Aljazeera.

Hakim Muhammad Bashir membacakan keputusan penghakiman dalam mahkamah yang padat di Islamabad pada Jumaat lalu.

Kes tersebut mempunyai kaitan dengan pemilikan empat pangsapuri di kejiranan Park Lane di London, ibu negara United Kingdom.

Sharif disingkirkan daripada menjadi perdana menteri pada Julai tahun lalu atas tuduhan rasuah dengan Mahkamah Agung mengeluarkan arahan supaya agensi pemantau rasuah melancarkan prosiding terhadap beliau dan keluarga beliau.

Dalam 2016, Konsortium Wartawan Penyiasat Antarabangsa (ICIJ) membocorkan 11.5 juta dokumen undang-undang – yang dikenali sebagai Kertas Panama – menunjukkan Sharif berjaya mendapatkan pinjaman AS13.8 juta dalam 2007, menggunakan pangsapuri berkenaan sebagai cagaran.

“Hari ini, mahkamah anti rasuah telah menjatuhkan hukuman..ia sekali gus menjelaskan bahawa semua harta tersebut, pangsapuri Avenfield, diperolehi menerusi kegiatan rasuah,” kata Pendakwaraya menurut laporan itu.

Berikutan keputusan mahkamah itu, Sharif memberitahu media bahawa beliau tidak dibicarakan secara adil namun akan berhadapan dengan hukuman tersebut.

Nawaz dan anak perempuannya Maryam kini berada di London kerana menjaga Kulsoom Nawaz, isteri Nawaz yang sakit kritikal dan sedang dirawat di sebuah hospital di sana.