Malaysia Dateline

Bekas Presiden Abim, Datuk Siddiq Fadzil meninggal dunia

Bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Prof Datuk Dr Siddiq Fadzil meninggal dunia sekitar jam 6.30 petang tadi.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh ABIM iaitu tempat di mana Ustaz Siddiq mencurahkan bakti sebelum ini, ketika berita ini ditulis, jenazah Allahyarham masih di Hospital An Nur Bangi.

“Dengan rasa sedih dan penuh dukacitanya disampaikan bahawa Presiden ABIM ketiga juga Murabbi kita, Prof. Ustaz Dato’ Dr Siddiq Fadhil (USF) telah kembali menemui Penciptanya pada jam 6:32 petang, Selasa 31 Ogos 2021.

“Jenazah Almarhum masih berada di hospital dan urusan seterusnya akan dimaklumkan kelak. Al-Fatihah,” kata kenyataan ringkas itu jam 7 petang tadi.

Ustaz Siddiq dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dibantu dengan alat pernafasan 28 Ogos lepas.

Ustaz Siddiq adalah Presiden Kolej Dar al-Hikmah (KDH) yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Beliau merupakan Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 2018, mantan Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) tahun 1970-an, mantan Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) tahun 1970-an, Presiden ketiga ABIM tahun 1980-an dan juga mantan Presiden Wadah Pencerdasan Umat (WADAH) pertama pada 2005.

Menurut keluarga beliau, Ustaz Siddiq bukan meninggal dunia kerana Covid-19 sebagaimana yang dilaporkan sebelum ini.

Terdahulu, Allahyarham dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dan diberikan alat bantuan pernafasan bukan kerana Covid-19 tetapi kerana masalah pernafasan dan buah pinggang.