Malaysia Dateline

Bekas Presiden ABIM gesa penyokong Anwar solat hajat

Bekas Presiden kedua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Profesor Ustaz Dr Razali Nawawi menyeru rakyat Malaysia yang bersimpati dan menyokong perjuangan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar melakukan solat hajat, zikir dan munajat menjelang 13 Oktober ini.

Katanya, amalan itu bagi memohon ke hadrat Allah agar memudahkan Anwar mengadap Yang di-Pertuan Agong mempersembahkan jumlah majoriti Ahli Parlimen yang menyokong beliau bagi mengambil alih Kerajaan Persekutuan dari Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Sebagaimana kita sedia maklum bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama rakan-rakannya sedang berusaha dengan bersungguh-sungguh dan gigih untuk menyelesaikan kemelut politik negara yang sudah sampai ke tahap kritikal.

“Kita juga maklum bahawa Datuk Seri Anwar akan mengadap Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong pada hari Selasa, 13 Oktober ini.

“Oleh itu, saya merayu dan mengajak rakan-rakan serta teman-teman yang bersimpati dengan perjuangan Datuk Seri Anwar untuk hadir menyertai majlis solat hajat, zikir dan munajat bagi merayu kepada Allah swt.

“Allah yang maha berkuasa membantu memudahkan segala usaha Datuk Seri Anwar dan rakan-rakannya dalam usaha mereka ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut bekas Dekan Kuliyyah Undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu lagi, majlis khas akan diadakan di Anjung Rahmat, Sungai Merak, Kajang mulai solat Zohor esok dan berakhir pada Zohor hari Selasa.

Dalam masa sama, Dr Razali menasihatkan penyokong Anwar agar melakukan ibadah di kediaman masing-masing bagi yang tidak berkelapangan atau berjauhan.

“Saudara yang boleh hadir (di Anjung Rahmat) saya nasihatkan supaya puasa sunat pada hari Isnin.

“Manakala yang bersimpati dengan usaha yang baik ini, dapat juga ikut serta dengan berpuasa pada hari Isnin serta melaksanakan solat hajat, zikir dan munajat kepada Allah di tempat masing-masing,” kata Dr Razali lagi.

Anwar pada 8 Oktober lalu mendakwa mendapat perkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah, 13 Oktober ini.

Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat itu berkata, beliau akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya seperti dinyatakan ketika sidang medianya pada 23 September lalu.