Malaysia Dateline

Bekas Presiden Peru Alan Garcia mohon suaka di Uruguay

Bekas Presiden Peru Alan Garcia PerezĀ  yang berkhidmat dari tahun 1985 hingga 1990 dan 2006 hingga 2011 memohon suaka di Uruguay, menurut Kementerian Luar Peru.

Garcia dilaporkan memasuki kediaman Duta Uruguay di Lima pada Sabtu, tambah kenyataan itu.

Sementara itu pada hari sama Hakim Peru Juan Carlos Sanchez meluluskan permohonan Pendakwa Jose Domingo Perez untuk melarang Garcia meninggalkan negara itu selama 18 bulan, kerana berdepan siasatan kes rasuah Odebrecht.

Permohonan itu dikemukakan Perez pada Khamis.

Ketika Garcia memegang jawatan presiden (2006-2011), syarikat gergasi pembinaan Brazil Odebrecht didakwa membayar rasuah bagi mendapatkan kontrak Lima Metro Line 1.

Setakat ini, pegawai tertinggi pentadbiran beliau yang turut terbabit dalam kes berkenaan ialah bekas Timbalan Menteri Komunikasi Jorge Cuba, yang dipenjara sementara menunggu perbicaraan.

Laporan berita penyiasatan media dalam talian IDL-Reporteros mengatakan Garcia pernah menerima suapan bernilai US$100,000 dari Odebrecht.

— BERNAMA