Malaysia Dateline

Bekas PTD akan ambil tindakan terhadap Ali Hamsa dan isteri

Bekas pegawai tadbir dan diplomatik (PTD), Ezuwan Hassan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Tan Sri Dr Ali Hamsa kerana constructive dismissal atas memfitnah dan menghina arwah bapanya, Allahyarham Datuk Hassan Jantan.

Menurut Ezuwan tindakan undang-undang juga akan diambil terhadap isteri bekas Ketua Setiausaha Negara itu, Puan Sri Rohani Prakash Abdullah melalui peguam yang akan dilantik dari Gani Patail Chambers.

Ezuwan berkata arwah ayahnya yang juga PTD pada 2011 telah ‘dipecat’ oleh Menteri Pertahanan pada ketika itu, Datuk Seri Zahid Hamidi akibat pendirian berprinsip membantah hasrat kerajaan menjual tanah milik Kementerian Pertahanan di Sungai Besi kepada pihak ketiga iaitu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada harga nominal.

“Arwah (Hassan) kemudian dipool di JPA atas pendirian beliau tersebut. Arwah bapa saya meninggal dunia pada 14 Januari 2014 iaitu lima bulan sebelum persaraan arwah di wad ICU, Hospital Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ezuwan mendakwa beliau juga ‘dipecat’ pada Julai 2017 akibat mempertikaikan isu-isu seperti 1MDB, kehancuran institusi KSN dan intervensi pihak-pihak luar melibatkan isu-isu integriti.

Turut dipersoalkannya pemilihan dan kenaikan jawatan berdasarkan favoratism dan campurtangan pihak ketiga termasuk Rohani Prakash dalam hal ehwal Pejabat KSN.

Selain itu, kata Ezuwan, isteri Ali berkenaan juga telah menghina dan memfitnah arwah bapanya yang sudah meninggal dunia.

Dalam masa sama, Ezuwan dengan jawatan terakhirnya sebagai Pengarah (Pentadbiran) Bahagian Khidmat Pengurusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri memaklumkan meletak jawatan dan bersara awal dalam perkhidmatan awam efektif 30 hari bermula dari hari ini.

Bekas pesakit Covid-19 yang bertarung nyawa di Hospital Sungai Buloh pada bulan lalu itu memberitahu keputusan tersebut bagi memberi tumpuan dalam kes perundangan ke atas Ali Hamsa dan Rohani Prakash.

Ezuwan juga pada masa sama akan memberi fokus kepada bidang kesukarelawan dalam membendung pandemik Covid-19 selain melaksanakan program-program amal di kampung halamannya di Merlimau, Jasin, Melaka.