Bekas Senator dan Ahli Parlimen tiada hak tuntut kenaikan pencen – Mahkamah Persekutuan

Oleh MALAYSIADATELINE

Mahkamah Persekutuan sebulat suara memutuskan Ahli Parlimen dan Senator yang sudah bersara tidak memiliki hak untuk menikmati kenaikan pencen apabila semakan gaji dibuat.

Keputusan dibuat selepas panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim membenarkan rayuan kerajaan Malaysia, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan Ketua Pentadbir Parlimen.

Ketika membenarkan rayuan tersebut semalam, Hakim Hasnah berkata bahawa hak untuk semakan berkenaan hanyalah hak bersyarat ataupun hak pada masa depan dan masih belum diperoleh.

Jelasnya, senator yang dilantik dan wakil rakyat Dewan Rakyat yang dipilih bukanlah ‘penjawat awam’ mengikut takrif dalam Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan, lapor Berita Harian.

Hak pencen penjawat awam juga dilindungi oleh Perkara 147 yang menyatakan sebarang skim pencen baharu tidak boleh memberikan faedah kurang baik daripada undang-undang yang sedang berkuat kuasa pada ketika itu.

“Mahkamah mesti merujuk kepada peruntukan ini tanpa cubaan untuk mengubah atau mengubah tafsiran, terutama apabila tiada kekaburan,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Keputusan itu sekali gus membatalkan keputusan tahun lalu oleh Mahkamah Rayuan yang memihak kepada 26 bekas senator untuk mendapatkan hak kiraan dan semakan semula pencen selaras dengan kenaikan gaji.

Saman pemula difailkan oleh bekas senator diketuai oleh Datuk Idris Buang untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa mereka berhak untuk pengiraan semula pencen yang disemak semula, berkuat kuasa pada 1 Januari 2015.

Ketua pentadbir Parlimen dan kerajaan dinamakan sebagai responden dalam saman yang difailkan pada 15 Ogos 2019 itu di mana permohonan mulanya ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 2020 tetapi kemudian dibenarkan Mahkamah Rayuan.

Dalam pada itu, Mahkamah Persekutuan ketika membenarkan rayuan juga tidak mengarahkan bayaran kos dibuat berikutan prosiding berkenaan membabitkan isu kepentingan awam.

Turut bersidang dalam panel yang mendengar rayuan itu adalah Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Kerajaan diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Al-Saifi Hashim, Rahazlan Affandi Abdul Rahim, Liew Horng Bin, Nurul Husni Abdul Rahman, Syahirah Ashahri, Tarmizi Ahmad, dan pegawai undang-undang Persekutuan, Jackie Mary Fernandes.

Manakala pihak responden pula diwakiliki oleh peguam Krishna Dallumah, Steven Thiru, Shankar Ram, Indran Kumaraguru, Yong Yoong Hui, Nasuha Badrul Din dan Chong Jen Hui.

Baca juga: Terkejut dengar suara misteri meraung kepanasan di tanah perkuburan