Malaysia Dateline

Bekas Setiausaha PKR Sarawak dipecat keanggotaan

Bekas Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Vernon Kedit memaklumkan bahawa beliau telah dipecat daripada parti itu oleh Majlis Pimpinan Pusat.

Beliau menerima Notis Pemecatan Keanggotaan yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Isnin, katanya menerusi satu kenyataan di Kuching pada Selasa.

Surat bertarikh 1 April itu menyatakan Majlis Pimpinan Pusat pada 21 Mac memutuskan untuk memecat beliau dan dibenarkan untuk membuat rayuan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis terbabit.

Vernon yang merupakan bekas Ketua PKR Cabang Betong menegaskan beliau tidak tahu bagaimana hendak membuat rayuan kerana beliau tidak tahu punca dirinya dipecat.

“Majlis ini tidak pernah memanggil saya untuk mempertahankan diri.

“Justeru, kini semua pihak dapat menilai PKR yang telah menyimpang jauh daripada prinsip terasnya apatah lagi apabila ia ditubuhkan berteraskan prinsip keadilan.

“Presiden PKR Datuk Seri) Anwar Ibrahim pernah dipecat daripada jawatan Umno dan Timbalan Perdana Menteri pada 1998 tanpa diberikan sebarang alasan.

“Maka, Keadilan ditubuhkan untuk melawan ketidakadilan ini,” jelasnya.

Surat tersebut memetik Perlembagaan Parti Fasal 9.1(D) dan hanya sekadar menjelaskan ahli boleh dipecat oleh Majlis Kepimpinan Pusat.

Sebelum ini, Setiausaha PKR Sarawak Joshua Jabeng dalam satu kenyataan berkata, Majlis Kepimpinan Negeri mencadangkan agar Vernon dan 11 lagi ahli dari cawangan lain dipecat kerana mereka dikatakan bekerjasama dengan pihak lain untuk menjejaskan kepimpinan PKR.

Selain Vernon, ahli lain adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Lintang See Chee How yang merupakan pengerusi cawangan Stampin, Boniface Willie Tumek (Mas Gading), Baharuddin Mokhsen (Petra Jaya), Siah Sy Jen (Bandar Kuching), Jemree Sabli (Kota Samarahan), Cyril Langin (Serian), Yen Jebeni (Sri Aman), Nicholas Bawin Anggat (Lubok Antu), Hung Soon Kieng (Lanang), Abdul Raafidin Majidi (Sibu) dan Kelvin @ Kilo Lutan (Bintulu).

Bagaimanapun, Vernon juga menyatakan yang beliau tidak tahu sama ada 11 ahli lain sudah dipecat dari parti itu.

Beliau menyertai PKR pada 2010 dan dipilih menjadi Ketua Cawangan Betong pada 2014 dan 2018 iaitu ketika dilantik sebagai Setiausaha PKR Sarawak.

Vernon juga adalah bekas Setiausaha Akhbar kepada mantan Menteri Kerja Raya Baru Bian semasa Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.