Bekas setiausaha politik Hadi ucap tahniah pada Pas

Bekas setiausaha politik Hadi ucap tahniah pada Pas

Bekas setiausaha politik kepada Presiden Pas, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, mengucapkan tahniah kepada Pas kerana berani mendedahkan secara terbuka pendirian mereka.

Kata beliau, tidak ada salahnya bagi Pas untuk bekerjasama secara rapat dengan pemimpin Umno yang bergelumang dengan rasuah dan rasis itu.

Beliau dipercayai merujuk kepada pengumuman Pas untuk bekerjasama dengan Umno dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia semalam.

“Ia sebahagian daripada demokrasi sebenarnya. Jangan malu untuk melindungi mereka, termasuk bekas PM Najib. Ia sebahagian daripada dakwah.

“Dan tolonglah sertakan “fatwa” anda berasaskan fiqh Awlawiyyat atau fiqh Muwazanah.

“Ramai asatizah Pas lulusan Madinah atau Al-Azhar boleh menyediakan ucapan dan khutbah bagi mewajarkan tindakan anda bekerja rapat dengan Umno. Tidak ada masalah.

“Bukankah kalian semua sedang berhadapan dengan “ancaman” daripada Kafir DAP dan Islam Liberal PAN? (anda semua tidak tergamak memanggil dengan panggilan AMANAH kerana anda sangat benci kepada mereka) ” kata beliau dalam akaun Facebooknya.

Kata beliau lagi, ingatlah juga bahawa anda semua turut membenci Anwar Ibrahim kerana beliau adalah “ejen Amerika” untuk menghancurkan negara ini.

Syed Azman juga mengingatkan Pas bahawa PM Tun Mahathir adalah orang yang anti Hudud.

“Kawan baru anda MCA juga anti Hudud tetapi mereka tidak apa kerana mereka semua zimmi, bukan?” tambah beliau.

Pas mengumumkan akan bekerjasama dengan Umno bagi menghadapi calon Pakatan Harapan (PH) dalam PRK Seri Setia.

Beliau menyarankan Pas supaya merancang mengadakan “Himpunan Selamatkan Melayu/Islam” secepat mungkin kerana negara ini sedang diancam oleh pemimpin kafir Pakatan Harapan (PH).

“Tahniah sekali lagi Pas, jangan bimbang jangan malu, Pas Untuk Semua,” kata beliau.

8.7
OVERALL SCORE
: 7.0
9 user votes x 8.9
CATEGORIES
TAGS